Tuesday, August 17, 2010

Pertahan guna dinar



KOTA BHARU- Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam, mempertahankan penggunaan dinar dan dirham di negeri ini walaupun pendekatan itu dinafikan Bank Negara Malaysia (BNM). 

Mursyidul Am Pas itu berkata, tidak ada salahnya menggunakan sistem tersebut memandangkan ia melibatkan pertukaran barangan yang dipersetujui kedua-dua pihak. 

“Misalnya macam cincin, boleh tak saya tukar dengan kain atau kereta, tak da apa (salahnya),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sejurus tiba dari Kuala Lumpur, semalam. 

Khamis lalu, Nik Aziz melancarkan penggunaan mata wang dinar dan dirham sebagai alternatif kepada wang biasa yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam. 

Bagaimanapun, BNM dalam satu kenyataan menegaskan hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran dan perkhidmatan di negara ini dan menolak penggunaan dinar dan dirham. 

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa menafikan penggunaan kaedah tersebut bagi menggantikan mata wang biasa sebaliknya ia hanya pengenalan sistem barter yang menggunakan logam emas dan perak. 

Ditanya lanjut bagaimanapun, enggan mengulas kenyataan yang dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad yang mengingatkan agar Kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya mewujudkan dinar dan dirham tanpa merujuk kepada Kerajaan Pusat. 

Semalam, seorang Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Mimi Aminah Nordin, 27, antara individu terawal menggunakan sistem dinar dan dirham dengan membeli sehelai kain disalah sebuah kedai di Pasar Siti Khadijah yang menerima sistem baru tersebut.

No comments:

Post a Comment