Tuesday, August 17, 2010

Felda saman Wan Azizah, 5 lain RM200j



Peguam bagi pihak Felda, Mohd. Hafarizam Harun menunjukkan nota saman yang difailkan di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 16 Ogos – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan sebuah syarikat pelaburannya hari ini memfailkan saman fitnah RM200 juta terhadap enam defendan termasuk penerbit serta pencetak akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan ekoran penyiaran artikel bertajuk Felda Bangkrap.
Felda dan Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. selaku plaintif pertama dan kedua memfailkan writ saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.11 petang.
Pihak plaintif menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presidennya, Dr. Syed Husin Ali yang disaman atas kapasiti pemegang jawatan dalam parti itu selaku defendan pertama dan kedua.
Penerbit akhbar tersebut, Pelita Koridor Sdn. Bhd. dan pencetaknya, Percetakan NPK Sdn. Bhd. selain penyunting, Dzulkarnain Taib serta penulis, Rusnizam Mahat pula masing-masing dinamakan sebagai defendan ketiga hingga keenam.
PKR dinamakan sebagai penerbit kepada Suara Keadilan tertakluk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), permit yang telah tamat tempoh pada 30 Jun lalu.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, akhbar Suara Keadilan dalam edisi 22-29 Jun lalu telah menyiarkan artikel di muka depan bertajuk Felda Bangkrap yang didakwa mengandungi perkataan fitnah.
Selain itu, sebuah lagi artikel dalam edisi yang sama dengan keterangan di muka surat pertama bertajuk Kontroversi berserta gambar dan sambungannya di muka surat 3 bertajuk Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu turut didakwa mengandungi perkataan fitnah.
Plaintif menyatakan, defendan telah dan masih menerbitkan bahagian pertama perkataan fitnah yang membawa maksud bahawa mereka tidak berupaya membayar hutang, hutang melebihi asetnya, tidak mempunyai kelayakan kredit dan merupakan entiti yang tiada sesiapapun yang ingin melakukan perniagaan bersama.
Dakwa plaintif lagi, defendan telah menerbitkan dan masih lagi menerbitkan bahagian kedua dan ketiga artikel mengandungi perkataan fitnah yang serius dan merupakan fitnah bertulis yang amat memudaratkan serta menjejaskan reputasi plaintif.
Selain itu, fitnah tersebut merupakan suatu yang amat serius yang boleh menyebabkan penghinaan dan aib kepada plaintif di khalayak ramai, masyarakat negara ini dan luar negara selain menyebabkan kerugian yang maksimum.
Menurut plaintif, defendan dengan sengaja menerbitkan perkataan fitnah tersebut walaupun mempunyai pengetahuan bahawa perkara itu tidak benar atau palsu serta cuai dan mengabaikan kejujuran.
Plaintif juga menegaskan bahawa perkataan fitnah telah diterbitkan dengan sengaja dan berniat jahat untuk merosakkan dan memusnahkan reputasi kedua-dua syarikat tersebut.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM200 juta termasuk ganti rugi keterlaluan, teladan untuk fitnah bertulis atau kepalsuan berniat jahat dan mudarat.
Selain itu, plaintif menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun atas ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran penuh serta injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada bercakap atau menerbitkan perkataan fitnah secara lisan atau di media cetak atau Internet.
Plaintif juga memohon perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah dengan bentuknya serta terma akan ditentukan oleh plaintif, kos serta relif-relif lain.

No comments:

Post a Comment