Monday, August 9, 2010

UMNO tegakkan Islam kerana tanggungjawab - Abdullah



Abdullah Ahmad Badawi dan Jeanne Abdullah bersama orang ramai selepas menanam pokok di Pantai Kamloon, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.


KEPALA BATAS 8 Ogos - Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, polisi serta pendirian UMNO dalam menegakkan isu-isu berkaitan agama Islam di negara ini dilakukan atas prinsip tanggungjawab bukan berlandaskan kepentingan politik semata-mata.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mendakwa UMNO terikut-ikut pendekatan Pas menggunakan agama untuk meraih sokongan sehingga menjadikannya parti konservatif adalah satu persepsi yang salah.
"Samalah juga seperti program yang ada hubung kait dengan Islam yang dijalankan jabatan agama di peringkat negeri atau Persekutuan, ini kita lakukan atas dasar tanggungjawab bukan hendak pancing undi.
"Kalau kita bina masjid, madrasah serta sekolah agama untuk membangunkan (syiar) Islam, adakah ini untuk pancing undi? Sudah tentu tidak kerana itu memang menjadi tanggungjawab kita," katanya.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penanaman kira-kira 400 pokok pelbagai spesies di sekitar Pantai Kamloon sempena program Mai Riuh!!! di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Ketika berucap pada Majlis Perhimpunan MCA Kedah baru-baru ini, Soi Lek menyifatkan kecenderungan Pas menggunakan agama dalam meraih sokongan rakyat telah memaksa UMNO untuk menggunakan cara yang sama bagi mengukuhkan kedudukan parti itu.
Beliau berkata, disebabkan itu, UMNO menjadi sebuah parti konservatif kerana bersaing dengan Pas untuk mendapatkan perhatian sehingga ada beberapa polisi yang kurang berkesan dibuat oleh kerajaan.
Malah, katanya, senario itu menyebabkan negara terperangkap menjadi negara berpendapatan sederhana selama 10 tahun.
Bagaimanapun, Abdullah berkata, adalah tidak adil membuat telahan begitu kerana walaupun UMNO mempunyai prinsip jelas berkaitan agama Islam, agenda pembangunan negara sentiasa diberi perhatian.

No comments:

Post a Comment