KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua baru-baru ini untuk memansuhkan diskaun bumiputera ke atas hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.
Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 11 pagi itu meminta polis menyiasat cadangan penasihat ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP itu yang disifatkan berbaur hasutan dan berbentuk provokasi.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Safarizul Mustafa berkata, laporan polis itu mesej daripada Pemuda yang memandang serius terhadap cadangan tersebut yang dilihat sangat berbahaya.
"Cadangan itu juga dianggap sensitif dan mencabar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Malah beliau (Tony) seolah-olah sengaja menimbulkan perasaan benci dan tidak puas hati orang Melayu," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini hari ini.
Pada 26 Julai lalu, Tony mencadangkan agar kerajaan negeri memansuhkan dasar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.
Katanya, langkah itu mampu memberi kesan ekonomi yang lebih baik kepada kerajaan Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.
Menurut Tony, tiada sebab diskaun bumiputera harus dikekalkan kerana sudah tentu bumiputera yang terlibat dalam pemilikan tersebut adalah mereka yang berkemampuan.
Safarizul dalam pada itu berkata, cadangan tersebut adalah permainan politik yang sangat bahaya kepada masyarakat di negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum.
"Kita memerlukan tindakan yang profesional agar tidak timbul huru-hara dalam negara.
"Tony boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menimbulkan pertikaian tentang kepentingan orang Melayu yang telah dipersetujui sejak dulu dan termaktub dalam Perlembagaan," tegasnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pergerakan itu.
No comments:
Post a Comment