Ketua Hakim Syarie Selangor, Mukhyuddin Ibrahim menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan peguam syarie, Amli Embong yang mewakili Bung Moktar dan hujahan balas pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zusyarafain Md. Yusof.
Katanya, beliau memerlukan masa selama seminggu untuk meneliti kesemua dokumen termasuk hujahan bertulis serta kronologi kes sebelum membuat keputusan.
Terdahulu, Amli dalam hujahannya berkata, Hakim Mahkamah Rendah Syariah telah terkhilaf apabila memutuskan hukuman penjara sebulan yang dianggap lebih sesuai untuk kesalahan-kesalahan serius berbanding kes poligami tanpa izin mahkamah.
Katanya, apa yang dilakukan oleh anak guamnya hanya kesalahan taazir (hukuman daripada pemerintah) membabitkan kesalahan rumah tangga serta langsung tidak menyentuh soal akidah atau jenayah yang lain.
"Hakim hanya mengambil kira perayu sebagai Ahli Parlimen dan pandangan masyarakat terhadap kredibiliti mahkamah apabila menjatuhkan hukuman tersebut.
"Mengenakan hukuman keras tidak semestinya mampu meningkatkan imej mahkamah. Hakim sepatutnya menitikberatkan soal keadilan, bukannya menekankan hukuman berat," katanya.
Menurut Amli, hakim tersebut juga terkhilaf kerana gagal mengambil kira kesan sabitan itu terhadap kerjaya serta kewangan anak guamnya yang mempunyai isteri-isteri serta anak-anak.
Katanya, hukuman tersebut akan menakutkan mereka yang berpoligami tanpa izin dengan terus menyembunyikan perkahwinan mereka kerana bimbang akan dikenakan tindakan yang sama sekiranya tampil bagi mendaftarkan pernikahan tersebut.
Sementara Zusyarafain pula berhujah, hukuman penjara sebulan adalah wajar sebagai pengajaran kepada Bung Moktar serta masyarakat agar tidak melakukan sesuatu yang membelakangkan undang-undang.
Katanya, lebih-lebih lagi Bung Moktar adalah seorang Ahli Parlimen yang sepatutnya lebih tahu tentang undang-undang serta memberi contoh yang baik kepada masyarakat.
"Hukuman penjara sebulan adalah wajar terhadap perayu (Bung Moktar) kerana beliau bukan seorang yang jahil undang-undang malah beliau adalah salah seorang yang menggubal undang-undang. Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya mendaulatkan undang-undang.
"Dalam hal ini, perayu lebih takut kehilangan jawatan berbanding perasaan malu kerana melakukan kesalahan tersebut. Jadi hukuman itu juga wajar untuk kemaslahatan (kepentingan) umum," katanya.
Bung Moktar, 51, mengemukakan rayuan pada 25 Mei lalu setelah tidak berpuas hati dengan hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat pada 19 Mei lalu bagi kesalahan berkahwin dengan pelakon Zizie Izette secara poligami tanpa izin mahkamah.
Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana bersubahat dengan Zizie atau nama penuhnya Zizie Izette A. Samad, 32, untuk bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk.
Zizie pula didenda RM2,000 atau penjara tujuh bulan atas dua tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar dan bersubahat dengan suaminya itu berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.
Pasangan itu bernikah di sebuah rumah di alamat No. 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak di sini pada pukul 8.50 malam, 16 Disember lalu dengan mas kahwin RM80, wang hantaran RM31,000 dan sebentuk cincin berlian serba satu untuk Zizie.
Namun begitu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu memutuskan pernikahan pasangan itu yang berlangsung pada 9 Jun lalu di rumah Zizie di No. 6, Jalan Setiawangsa 6, Taman Setiawangsa di ibu negara adalah sah dan memerintahkan ia didaftarkan.
No comments:
Post a Comment