Thursday, August 5, 2010

Malaysia tidak akan tunduk desakan kes liwat Anwar - TPM



05/08/2010 6:26pm

SUNGAI SIPUT 5 Ogos - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia tidak akan tunduk terhadap campur tangan dan desakan mana-mana pihak atau negara luar berhubung kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, gesaan itu merupakan satu tindakan sia-sia serta menunjukkan Anwar seorang yang terdesak sehingga menggunakan ”talian hayat” dan sentiasa bersubahat dengan rakan-rakan luarnya demi kepentingannya.
"Sebagai bekas timbalan perdana menteri, Anwar sepatutnya tahu tetapi soal yang berbangkit menunjukkan apakah dia begitu ”desperate” (terdesak) sehingga meminta tolong dan ”talian hayat” daripada orang Amerika dan kawan baiknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agrofest Perak 2010 di Ladang Infoternak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas naib presiden Amerika Syarikat, Al Gore dan bekas presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz dalam akhbar Asian Wall Street Journal yang mahu kerajaan Amerika campur tangan dalam kes liwat Anwar yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Bernama

No comments:

Post a Comment