05/08/2010 5:11pm
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang mengenal pasti beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang untuk dijadikan pangkalan baru bagi menggantikan pangkalan sedia ada di Sungai Besi.
Timbalan Panglima TUDM, Lt. Jen Datuk Shahron Ibrahim berkata, TUDM dan Kementerian Pertahanan masih mengkaji lokasi strategik yang bersesuaian sebelum membuat keputusan untuk memindahkan pangkalan Sungai Besi ke lokasi baru.
"Kita telah meninjau beberapa lokasi, namun keputusan belum boleh ditetapkan kerana proses ini memerlukan perancangan dan kajian rapi. Kita masih mencari lokasi yang pastinya mesti strategik dan sesuai sebagai pangkalan logistik,” katanya kepada pemberita selepas pada majlis penyampaian anugerah khidmat cemerlang 153 pegawai dan anggota TUDM di Pangkalan Sungai Besi hari ini.
Shahron berkata, Pangkalan Sungai Besi tidak akan ditutup tahun ini tetapi lokasi baru itu perlu ditetapkan tahun ini kerana proses membangunkan sebuah pangkalan mengambil masa kira-kira tiga tahun.
Selain itu, proses memindahkan Pusat Operasi Tentera Udara serta inventori dan sistem pertahanan tidak mudah dilaksanakan kerana memerlukan perancangan rapi dan perpindahan secara berperingkat-peringkat, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment