Thursday, August 5, 2010

PDRM cadang kompaun saman ekor mampu bayar



05/08/2010 8:44pm

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan cadangan agar kerajaan menetapkan kadar kompaun saman ekor yang mampu dibayar pesalah trafik berikutan pelbagai rungutan di kalangan orang ramai berhubung kadar saman itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, bagaimanapun, setiap kadar saman bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
"Saya telah kemukakan cadangan di peringkat tertinggi agar saman yang dikeluarkan selepas ini mampu dibayar oleh pesalah trafik.
"Kemungkinan saman itu akan dikurangkan, namun ia bergantung kepada jenis kesalahan trafik. Perkara ini juga masih di peringkat kajian dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat PDRM 2010 di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, kadar kompaun saman itu juga akan diselaraskan antara dua agensi, iaitu PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Musa berkata, antara cadangan lain yang dikemukakan ialah melanjutkan tempoh pembayaran saman serta mengkhususkan badan pengeluar nombor pendaftaran untuk setiap kenderaan.
"Dalam cadangan itu juga, kita minta agar tempoh pembayaran saman dipanjangkan. Maknanya, kalau sekarang pesalah trafik diberi tempoh dua minggu bagi melangsaikan saman, kita panjangkan tempoh itu untuk memudahkan mereka.
"Pengeluaran nombor pendaftaran kenderaan juga perlu diberi pada satu pihak sahaja... kalau JPJ yang diberi kuasa, maka JPJ yang berhak keluarkan, bukan kedai-kedai (kereta) seperti sekarang. Ini yang menyebabkan banyak nombor (pendaftaran) palsu yang keluar,” katanya.
Mengulas mengenai saman ekor yang sepatutnya dihentikan pula, Musa berkata polis hanya mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. - Bernama

No comments:

Post a Comment