Thursday, August 5, 2010

Ditinggal suami, rumah didiami roboh





2010/08/05

KUCHING: Sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas ditinggalkan suami kira-kira dua tahun lalu, nasib malang terus menimpa Sabariah Jamali, 40, dari Kampung Sungai Midin, Jalan Semariang dekat sini, apabila rumah didiami sejak 16 tahun lalu pula runtuh akibat terlalu usang, minggu lalu. 

Berikutan kejadian itu, Sabariah yang juga menghidap penyakit buah pinggang dan dua anaknya kini terpaksa menumpang di rumah jiran. Dua anaknya, Nasri Fazrin Ismail, 17, dan Adib Shazwan, 12, masing-masing akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Nasib malang menimpanya bukan saja menyebabkan beliau buntu memikirkan masa depan anak-anaknya, tetapi pada masa sama perlu mencari wang bagi mendirikan semula rumahnya yang runtuh kerana penyakit dihidapi membataskan beliau untuk melakukan kerja berat.
Malah, beliau tidak menerima sebarang bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan sudah menerima bantuan perubatan RM5,000 daripada jabatan itu untuk kos perubatannya sebulan. 

Justeru, katanya, sejak ditinggalkan suami dua tahun lalu, beliau terpaksa mencari sayur-sayuran hutan untuk dijadikan lauk dan pada masa sama berterima kasih dengan penduduk kampung yang sudi meringankan beban keluarganya. 

“Saya mengharapkan ada pihak yang sudi memberi bantuan kepada kami sekeluarga untuk membina semula rumah ini kerana kami tidak mahu menumpang di rumah jiran buat selamanya. Sekurang-kurangnya dengan rumah baru nanti, akan memberi peluang kepada kami membina semula kehidupan baru. 

“Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih dengan jiran kerana sudi menghulurkan bantuan dengan membenarkan kami menumpang di rumahnya,” katanya kepada Berita Harian. 
Menceritakan kejadian rumahnya runtuh, Sabariah berkata, ia runtuh secara tiba-tiba kerana terlalu usang, bagaimanapun mereka tiga beranak sempat menyelamatkan diri. 

“Saya tidak sempat menyelamatkan ubat-ubatan buah pinggang kerana keadaan menjadi kelam kabut ketika itu. Saya tidak menyangka kejadian malang itu akan menimpa kami,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Samariang, Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, berkata beliau akan berusaha membantu Sabariah bagi membina rumah baru di tapak sama. 

"Saya simpati dengan nasib yang menimpa Sabariah, lebih-lebih lagi beliau ditinggalkan suami dalam keadaan beliau tidak berdaya untuk mencari pendapatan kerana menghidap penyakit buah pinggang,” katanya.

No comments:

Post a Comment