Sunday, September 26, 2010

Bagaimana Mas Selamat lolos dari pusat tahanan akan didedah, kata DPM

SINGAPURA


BUTIR-BUTIR mengenai bagaimana ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, dapat meloloskan diri daripada Pusat Tahanan Whitley, akan didedahkan kepada umum setelah siasatan selesai dijalankan, kata Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Wong Kan Seng.
Encik Wong, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata hal itu sedang disiasat dan beliau belum dapat memberikan perinciannya.'Berapa lama siasatan bergantung kepada sejauh mana Mas Selamat memberikan kerjasama dan kesahihan pendedahannya,' ujarnya semasa ditemui media semalam.Namun, Encik Wong meyakinkan warga Singapura bahawa setelah siasatan dapat memastikan bagaimana Mas Selamat lolos daripada Pusat Tahanan Whitley Road, dan maklumat yang diberi tidak menjejas keselamatan operasi, ia akan dikongsi bersama orang ramai.Mas Selamat telah meloloskan diri daripada Pusat Tahanan Whitley pada Februari 2008 sebelum akhirnya ditangkap semula di Johor, Malaysia, pada April tahun lalu.Mas Selamat diberkas kali pertama di Indonesia pada Februari 2003 setelah melarikan diri ke sana pada Disember 2001.Siasatan mendapati dia merancang merampas sebuah pesawat di Bangkok, Thailand, dan menghempaskannya di Lapangan Terbang Changi.Encik Wong turut mendedahkan bahawa Mas Selamat kini ditahan di Pusat Tahanan Whitley Road di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).Tentang tahap keselamatan di pusat itu, Encik Wong berkata, setelah Mas Selamat melepaskan diri daripada pusat tahanan itu dua tahun lalu, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan (COI), yang telah memberikan saranan agar kawalan dan langkah-langkah keselamatan di pusat itu diperketatkan.'Saya telah ke sana baru-baru ini dan melihat langkah-langkah itu telah dilaksanakan dan kami yakin beliau berada di tempat yang sepatutnya dan pergerakannya akan dipantau dengan teliti oleh pihak keselamatan di situ,' ujar Encik Wong.Di bawah ISA, setelah seseorang ditangkap, dia boleh disiasat selama 30 hari sebelum keputusan dibuat sama ada beliau perlu ditahan di bawah Perintah Tahanan (DO).Namun, Encik Wong yakin, Mas Selamat akan dikenakan DO setelah tamat tempoh 30 hari itu.'Mas Selamat merupakan pengganas tegar. Penangkapan semula Mas Selamat tidak bermakna ancaman pengganasan terhadap Singapura telah berkurangan. Ancaman pengganasan adalah sesuatu yang wujud dan negara-negara di rantau ini bekerja keras untuk memeranginya,' ujar Encik Wong.Beliau turut menggesa orang ramai agar terus berjaga-jaga dan tidak bersikap sambil lewa. 

No comments:

Post a Comment