KUALA LUMPUR, 26 Sept: Tindakan keras yang diambil pihak polis dalam menahan kartunis terkenal tanahair, Zunar menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijelaskan.
Menurut Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), ini demi mengekalkan kepercayaan masyarakat akan ketelusan dan keterbukaan kerajaan dalam menerima sebarang maklumbalas daripada masyarakat mengenai perlaksanaan amanah dan tanggungjawab kerajaan.
Naib presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, antara persoalan yang wajar dijelaskan ialah mengapa kebebasan bersatira untuk memperbaiki dasar pentadbiran awam diwar-warkan sebagai hasutan.
Katanya, satira merupakan salah satu kaedah kritikan berlapik yang diterima pakai sejak zaman belum merdeka lagi dan digunakan oleh ramai pejuang kemerdekaan seperti Pak Sako dan Pendeta Za’ba.
Justeru, katanya Ikram memandang serius mengenai penangkapan dan penahanan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque di bawah Akta Hasutan.
Ikram, jelas beliau pada dasarnya bersetuju dengan keperluan untuk melindungi masyarakat awam daripada diperdaya dengan laporan dan pengkhabaran palsu yang mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat.
Katanya, karya kartun semasa Zunar tidak tersiar di mana-mana akhbar atau makalah, dan buku-buku yang dijual pula sukar untuk didapati di toko-toko buku utama.
Namun, tambahnya kenyataaan bersifat perkauman seorang pengetua sekolah yang sudah lama diwar-warkan dalam media arus perdana tidak pula mengundang apa-apa tindakan undang-undang.
Malah, katanya lagi pemimpin nombor dua negara pun mengaku apa-apa tindakan terhadap pencetus insiden yang mencalar maruah kaum minoriti itu bukan di bawah bidang kuasanya.
“Bagaimana satira politik boleh dianggap lebih berbahaya daripada isu perkauman, sehingga perlunya Zunar dihantar ke beberapa lokap berturut-turut sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan, sedangkan Akta Hasutan digubal untuk mengelakkan pemberontakan besar-besaran melalui cara-cara yang bercanggah dengan perlembagaan negara seperti tindakan subversif gerila komunis pada awal kemerdekaan Malaysia,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya Ikram mengesyorkan mana-mana institusi atau badan kerajaan yang terkesan dengan sebaran awam yang dianggap palsu dan berunsur fitnah dalam media bebas seperti forum atau blog di internet supaya tampil proaktif dalam memberikan penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan.
Beliau menambah, tindakan menggertak dan menangkap para pengkritik dasar kerajaan dan menuduh mereka di bawah Akta Hasutan hanya akan menambahkan kesangsian rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk mengekalkan kebebasan bersuara sebagai salah satu hak yang wajar dinikmati rakyat.
Kerajaan, ujarnya perlu menyedari bercambahnya masyarakat Malaysia melalui media bebas seperti blog adalah berpunca dari kelemahan arus media perdana yang dilihat sebagai tidak objektif dalam menyebarkan berita serta gagal dalam meraikan kepelbagaian pendapat semasa segenap lapisan masyarakat yang berbeza falsafah politik dan kepercayaan.
Tambahnya, Ikram menggesa pihak berkuasa untuk membebaskan Zunar dengan serta merta agar keyakinan rakyat terhadap keterbukaan kerajaan dalam penerimaan kritikan awam demi penambahbaikan pentadbiran dan pengurusan negara dapat dikekalkan.
“Sekiranya ditahan maka prosedur penahanan dipatuhi dan hak peguam perlu diberikan kepada Zunar. Sebarang tindakan intimidasi dan tekanan harus dihentikan,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment