Sunday, September 26, 2010

Mas Selamat diusir selepas tidak ancam negara - Hishammuddin


KLUANG 25 Sept. - Pengusiran Ketua Wakalah Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari ke negara asalnya, Singapura diambil setelah kerajaan mendapati pemimpin JI itu tidak menjadi ancaman kepada negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat selepas perundingan dijalankan antara kedua-dua negara.
Katanya, kerajaan juga membuat keputusan itu setelah mendapat maklum balas daripada pelbagai agensi termasuk pasukan khas menentang keganasan serta agensi keselamatan dan risikan negara.
"Saya diberi maklumat Mas Selamat tidak jadi ancaman kepada negara kita lagi.
"Kebetulan Mas Selamat dari Singapura dan saya telah nyatakan dari dulu lagi, mereka yang datang dari negara lain, kalau tak bawa ancaman kepada kita, saya nak mereka diusir kembali ke negara asal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sembrong di Taman Seri Lambak di sini hari ini.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim serta kira-kira 15,000 pengunjung pelbagai kaum.
Ditanya kemungkinan pengusiran Mas Selamat dibuat hasil kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara jiran tersebut baru-baru ini, Hishammuddin berkata, republik itu telah membuat permintaan itu sebelum lawatan tersebut.
"Permintaan telah dibuat lama dulu kerana Mas Selamat adalah warganegara sana, tetapi selagi kita tak puas hati Mas Selamat tak jadi ancaman ataupun jejaskan negara kita, kita perlu buat apa jua pertimbangan dalam konteks penahanan beliau.
"Tetapi hari ini dengan siasatan kita sendiri, saya rasa masa sudah sampai untuk kembalikan beliau di bawah tahanan negara sendiri," katanya.
Akhbar hari ini melaporkan Mas Selamat Kastari telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan pengusiran ke negara asalnya, Singapura, semalam.
Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Polis Diraja Malaysia, Datuk Mohammad Fuzi Harun dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Hishammuddin pada pukul 10.30 pagi.
Sementara itu, beliau menafikan penahanan kartunis portal pembangkang, Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque, 49, hanya disebabkan kartun yang dihasilkannya menyentuh tentang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Ramai juga gembar-gemburkan tahanan itu berkisar kartun yang menyentuh kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Tetapi maklumat yang saya terima daripada pihak berkuasa, kartun itu berhubungkait sistem perundangan kita, agama, isu kalimah Allah diputarbelitkan dalam kartun," katanya.
Beliau berkata, penahanan dibuat mengikut Akta Hasutan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Akhbar hari ini melaporkan Zunar ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku Cartoon-O-Phobia yang menyentuh isu-isu sensitif dan boleh mengganggu ketenteraman awam.
Beliau ditahan di pejabat penerbitan miliknya, Sepakat Efektif Sdn. Bhd. di ibu negara kira-kira pukul 4 petang.

No comments:

Post a Comment