Sunday, September 26, 2010

Tangguh percutian ke Jakarta



SHAH ALAM – Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (Tram) menyarankan rakyat negara ini menangguh percutian mereka ke Jakarta berikutan demonstrasi anti-Malaysia di ibu negera Indonesia itu.

Presidennya, Azlie Halim dalam kenyataan semalam berkata, tindakan agresif segelintir penunjuk perasaan di Jakarta yang hendak mengusir rakyat Malaysia dari Indonesia boleh menggugat keselamatan mereka.

“Tram mengutuk tindakan penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi dan menganggapnya satu penghinaan kepada pelancong Malaysia yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan industri Indonesia.

“Oleh itu, Tram menyarankan pelancong Malaysia menangguhkan dulu percutian ke sana dan memilih destinasi pelancongan di dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, Azlie berkata, Kementerian Pelancongan, khususnya, perlu menggiatkan usaha mempromosi produk pelancongan domestik kepada pelancong tempatan.

“Ini supaya wang kita tidak mengalir ke luar negara.

“Agensi seperti Tourism Malaysia juga perlu memberikan tumpuan kepada usaha mempromosikan produk pelancongan tempatan untuk pelancong domestik menerusi kempen promosi berterusan dan bersepadu di media massa,” katanya.

No comments:

Post a Comment