KUALA LUMPUR 27 Sept. – Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi akan meneruskan beberapa usaha terakhir ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya termasuk membuat tuntutan terhadap bekas suaminya, Nash atau Jamaludin Elias.
Beliau berkata, meskipun perhubungan adik beradiknya dengan bekas penyanyi kumpulan Lefthanded itu masih akrab namun tuntutan tersebut terpaksa diteruskan bagi menyempurnakan usaha terakhir ibunya.
“Kalau dilihat pada usaha ibu (Sosilawati) yang begitu bersungguh-sungguh membuat tuntutan itu, saya rasa perlu untuk kami meneruskannya.
“Tetapi perkara ini masih dalam perbincangan antara saya dan adik-adik. Semalam kami telah berbincang mengenainya tapi masih belum membuat keputusan.
“Saya hanya dapat memberi keputusan ini selepas berbincang serta mendapat pendapat seluruh ahli keluarga,” katanya ketika menjadi tetamu Kerusi Panas kepada Radio 24 di sini petang ini, yang dikendalikan penyampai, Azman Idris.
Pada 26 Ogos lalu iaitu empat hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang, beliau telah memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, bahawa wang RM1.38 juta yang digunakan untuk membayar hutang rumah serta dilaburkan dalam tiga akaun atas nama Nash adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain bagaimanapun menyambung perbicaraan tersebut pada 2 dan 3 Februari tahun depan.
Selain itu, Erni Dekritawati Yuliana memberitahu, beliau juga akan berusaha untuk menyenaraikan syarikat kosmetik ibunya, Nouvelle Visages di bursa saham.
Kepada satu soalan, beliau berkata, penyenaraian nama syarikat kosmetik berkenaan di bursa saham adalah matlamat ibunya dalam perniagaan.
Sambil tidak menafikan Sosilawati turut memiliki syarikat hartanah dan penjualan kereta, katanya, beliau akan berusaha untuk meneruskan hasrat ibunya itu dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, setakat ini perniagaan yang ditinggalkan ibu masih berada dalam keadaan baik.
“Walaupun perniagaan kosmetik itu kehilangan ibu, tetapi penjualan produknya masih berada dalam keadaan baik.
“Apa yang saya dapat beritahu juga setakat ini tidak ada kerugian dan tidak terdapat keuntungan berganda, semuanya seperti biasa,” ujarnya.
Malah jelasnya, kejadian yang menimpa ibunya telah melonjakkan nama Nouvelle Visages menjadi terkenal ketika ini.
Dalam pada itu, ditanya siapa yang menjadi mentor untuknya meneruskan empayar perniagaan tersebut, katanya, bapa kandungnya Bukhairi Mohamed akan memimpin beliau dan adik-adiknya.
Sosilawati, 47, serta pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Setelah lebih seminggu hilang akhirnya misteri itu terjawab apabila polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.
Keempat-empat mereka dibunuh secara kejam oleh suspek dengan mayatnya dibakar manakala abu pula dibuang ke dalam sungai dekat Ladang Gadong, Banting.
No comments:
Post a Comment