Sunday, September 12, 2010

Istana Kelantan menyalahi undang- undang?



KOTA BHARU 11 Sept. - Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menyifatkan Istana Kelantan menyalahi undang- undang sekiranya memasyhurkan kekanda sulungnya, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra.
Beliau juga menganggap usaha itu sebagai penderhakaan yang nyata kerana baginda masih hidup walaupun gering.
"Dari segi undang-undang bolehkah ia dibuat? Ia mungkin tidak boleh buat.
"Bagi saya jika siapa-siapa melakukan juga, ia macam satu penderhakaan," katanya sewaktu ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di pekarangan Istana Mahkota di sini lewat petang semalam.
Seramai 1,500 rakyat Kelantan menghadiri majlis tersebut. Mereka diraikan oleh Tuanku Ismail dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Baginda berdua turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan mereka yang tidak berkemampuan.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Tengku Muhammad Faris dijangka dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada Isnin ini setelah memangku jawatan tersebut lebih setahun lalu.
Spekulasi mengenai pelantikan sultan Kelantan yang baru bertiup kencang sejak minggu lalu bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Istana Kelantan.
Tengku Muhammad Faris dilantik sebagai Pemangku Raja bagi menjalankan tugas-tugas sultan berikutan kegeringan ayahandanya akibat masalah pernafasan dan menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada Mei tahun lalu.
Pelantikan itu dibuat mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Tengku Muhammad Fakhry menjelaskan, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai istiadat pemasyhuran tersebut.
"Itu saya tak tahulah, biasalah (tidak dimaklumkan) kalau langgar undang-undang," katanya

No comments:

Post a Comment