Sunday, September 12, 2010

Telur juadah hari raya




KUANTAN - Tarikh 1 Syawal yang disambut kelmarin tidak membawa erti kepada Timah Abd Rahman, 51, ibu tunggal beranak 10 dari Kampung Chendor Baru dekat sini, yang tidak mampu menyediakan sebarang persiapan raya akibat kesempitan hidup. 

Malah tempat keluarganya berteduh daripada panas dan hujan didirikan ala kadar itu pun dengan usaha seorang anak lelakinya yang mengutip lebihan kayu dan atap zink selepas selesai bertukang rumah penduduk kampung. 

Apa yang lebih menyedihkan, rumah Timah yang boleh diibaratkan seperti bangsal itu hanya berlantaikan tanah dan apabila hujan, keadaan di dalam rumah akan menjadi becak dimasuki air. 

Dinding rumah hanyalah cebisan papan usang yang disusun bersama sedikit bata dan setiap kali hujan, mereka anak-beranak bingung mencari ruang yang kering untuk berteduh sementara menunggu hujan reda. 

Ini kerana tiada tempat di rumah itu yang tidak terkena tempias malah tempat tidur, perabot dan pakaian mereka akan basah apabila hujan. 

“Sudah 20 tahun saya menetap di sini walaupun tahu rumah ini didirikan di atas tanah kerajaan. Bukannya tidak memohon tetapi permohonan tidak pernah lulus. 

“Lebih menyulitkan apabila bekalan air tidak ada dan kami sekeluarga terpaksa bergantung kepada air telaga di belakang rumah untuk urusan seharian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini. 

Menurutnya, kehidupannya bertambah perit apabila berpisah dengan suami keduanya yang merupakan warga Indonesia lebih 10 tahun lalu. 

“Selepas dihantar pulang, dia langsung tidak mengirimkan khabar berita dan akhirnya tinggal saya sahaja terkontang-kanting membesarkan anak-anak. 

“Daripada 10 anak, empat daripadanya masih tinggal dengan saya termasuk dua yang masih bersekolah,” katanya yang mempunyai anak berusia di antara 13 dan 34 tahun. 

Timah berkata, dua anak yang tinggal dengannya bekerja sebagai tukang rumah dan tukang cuci hotel berhampiran. 

“Sekurang-kurangnya lepaslah perbelanjaan untuk mereka berdua namun saya harus terus bekerja untuk menyara dua anak yang masih bersekolah menengah. 

“Walaupun bekerja menyapu sampah di Kemaman dengan pendapatan RM500 sebulan, ia masih tidak mencukupi dengan kos hidup yang semakin tinggi sekarang termasuklah tambang bas untuk anak berulang-alik ke sekolah setiap hari,” katanya. 

Timah berkata, tiga tahun lepas dia pernah berpindah ke rumah sewa yang terletak tidak jauh daripada rumah yang didiami sekarang.

“Rumah itu lebih selesa kerana dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik namun saya terpaksa berpindah ke rumah lama kerana tidak mampu membayar sewa sebanyak RM200 sebulan tambahan pula ketika itu anak sudah mula bersekolah menengah. 

“Apabila berpindah kembali ke rumah lama, anak-anak tolong baiki setakat yang mampu malah mereka turut merobohkan bahagian dapur untuk disimen namun sehingga kini masih terbengkalai kerana kekurangan wang,” katanya. 

Menurutnya, dia juga tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walaupun sudah bayak kali memohon. 

“Wakil JKM ada dua tiga kali datang membuat lawatan namun selepas itu senyap begitu sahaja. 

“Anak-anak pun tidak mendapat sebarang bantuan seperti biasiswa di sekolah,” katanya. 

Apabila ditanya mengenai persiapan raya, Timah berkata, dia tidak membuat sebarang persiapan dan hanya mengharapkan anak-anak pulang ketika hari raya. 

Juadah raya mereka tetap seperti hari-hari sebelumnya iaitu hanya nasi berlaukkan telur. 

Katanya, dia amat berharap untuk mendapatkan bantuan tempat kediaman yang selamat untuk anak-anak apabila dia keluar bekerja dan juga kediaman selesa untuk anak-anak belajar. 

“Bukannya tidak mahu mencari rumah sewa lain tetapi tidak mampu jadi saya amat berharap ada pihak sudi meringankan beban saya untuk mencari tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment