Sunday, September 12, 2010

Majlis 9/11 dicemari anti-Islam


NEW YORK 11 Sept. - Majlis peringatan sempena ulang tahun kesembilan serangan 9/11 yang akan diadakan di New York dan Pentagon dicemari dengan ketegangan global berhubung ancaman paderi di Florida yang mahu membakar al-Quran.
Upacara yang diadakan bagi memperingati hampir 3,000 orang yang terkorban pada 11 September 2001 apabila pengganas yang merampas pesawat melanggar Pusat dagangan Dunia (WTC) itu hampir tidak berubah setiap tahun.
Di Ground Zero New York, nama-nama 2,752 mangsa yang terkorban di sana dibacakan semula dengan berlatar belakangkan muzik-muzik sedih dan upacara bertafakur seketika diadakan pada masa sama ketika dua pesawat melanggar WTC dan sekali lagi ketika bangunan itu runtuh.
Presiden Barack Obama bakal menghadiri majlis peringatan di Pentagon, sementara Timbalan Presiden Joseph Biden menghadirinya di New York.
Majlis peringatan ketiga diadakan di Shanksville, Pennsylvania, lokasi pesawat keempat yang dirampas telah terhempas.
Tahun ini majlis memperingati mangsa yang terkorban dibayangi dengan ancaman paderi Florida yang mahu membakar beratus-ratus naskah al-Quran hari ini jika rancangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero tidak ditarik balik.
Namun paderi Terry Jones telah menarik balik rancangannya itu semalam selepas Presiden Obama, Vatican dan beberapa pemimpin dunia lain memberi amaran ia akan mencetuskan bencana kepada hubungan Islam-Barat.
Namun, ketegangan masih berada pada tahap tinggi. Perhimpunan oleh kumpulan penyokong dan pembantah rancangan pembinaan masjid itu diadakan berhampiran Ground Zero, sejurus selepas majlis rasmi memperingati serangan 9/11, sekali gus melanggar larangan mempolitikkan isu itu sempena ulang tahun itu.
Pembinaan masjid dan pusat komuniti Islam dicadangkan oleh Imam New York, Feisal Abdul Rauf, dua blok dari Ground Zero.
Ketegangan di tapak pembinaan mula meningkat lewat semalam apabila kira-kira 2,000 orang yang berhimpun berhampiran Ground Zero menyokong cadangan pembinaan itu.
Kebuntuan rancangan pembinaan masjid dan rancangan pembakaran al-Quran mencetuskan suasana yang tidak baik kepada penduduk Islam AS dan Obama semalam turut meminta rakyat negara ini supaya 'memastikan mereka tidak mula mengubah antara satu sama lain'.
Apa pun yang berlaku, kerosakan imej AS dalam dunia Islam sudah berlaku.
Kemarahan tercetus di Afghanistan semalam di mana beribu-ribu orang melontar batu dan mengadakan tunjuk perasaan di luar pangkalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ekoran rancangan mahu membakar al-Quran itu. - AFP

No comments:

Post a Comment