Friday, October 15, 2010

A. Aida mahu saman, tuntut nafkah anak daripada Ameng

sumber

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pelakon A. Aida akan memfailkan saman malu terhadap bekas suaminya, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng selepas penyanyi itu mengeluarkan kenyataan mendakwa dia membuat konspirasi untuk memalukan lelaki itu seperti disiarkan akhbar Kosmo! hari ini.
Selain dakwaan konspirasi, A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 39, berkata, vokalis kumpulan Spring itu turut mendakwa dia sengaja mahu memisahkannya dengan dua anak hasil perkahwinan mereka iaitu Wan Aleesa, 14, dan Wan Natassha, 9.
Malah, penerbit drama televisyen bersiri popular Halimah Jongang itu berkata, dia juga akan membuat tuntutan nafkah anak-anaknya yang didakwa tidak dijelaskan oleh Ameng selepas mereka bercerai pada 2002.
"Melalui peguam Zulkifli B.C. Yong, saya akan memfailkan saman malu dan tuntutan nafkah anak-anak terhadap Ameng dalam waktu terdekat ini. Selepas bercerai dia tidak pernah memberi nafkah untuk anak-anak walau satu sen pun.
"Saya juga mahu menafikan kenyataan akhbar Ameng pada April lalu mengatakan saya tidak membenarkannya berjumpa dengan anak-anak. Dalam hal ini, ia bukan isu anak, sebaliknya ia tentang Ameng yang selalu mengganggu dan mengugut saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Selepas kenyataannya keluar dalam akhbar semalam saya tiada pilihan lagi. Selama ini saya sudah banyak bersabar terhadapnya dan kini sudah tiba masanya saya tampil membela diri bagi menyatakan kebenaran," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Hadir sama Zulkifli dari syarikat guaman Zulkifli Yong Azmi & Co. yang sedang mengumpul bukti bagi memfailkan saman terhadap Ameng, 41.
Ketika ditanya mengapa baru sekarang menuntut nafkah dua anak perempuannya itu, A. Aida menjelaskan, dia terpaksa berbuat demikian demi kepentingan dan hak anak-anaknya yang telah diabaikan oleh Ameng selama ini.
"Sekarang baru saya rasa terpanggil kerana selama ini saya cuba bersabar kerana saya faham dia (Ameng) pun bukannya hidup senang. Tetapi dalam pada saya bersabar dia terus mengganggu hidup saya.
"Saya fikir itu adalah 'perkara yang dia hendakkan sangat' (supaya dikenakan tindakan) atas tanggungjawab yang diabaikannya selama ini. Ia juga sebagai pengajaran kepada Ameng supaya 'jangan bermain dengan api'. Selama ini saya telah banyak beri peluang kepadanya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment