Friday, October 15, 2010

Dua lagi pekerja ladang didakwa hari ini

sumber

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Dua suspek yang sebelum ini ditahan berhubung beberapa kes pembunuhan termasuk membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di Kuala Langat, Selangor untuk didakwa pagi esok.
Peguam mereka, Avtar Singh Dhaliwal ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.
"Mahkamah dijangka akan membaca pertuduhan dan kemudian pihak pendakwa raya dijangka membuat permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang peguam, N. Pathmanabhan didakwa di mahkamah yang sama dengan niat bersama-sama dengan tiga lelaki lain termasuk seorang remaja belasan tahun membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Kesemua mereka juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38.
Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.
Avtar Singh berkata, kedua-dua anak guamnya mungkin akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Esok kita semua akan tahu keputusan mahkamah berhubung pendakwaan tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment