sumber
SHAH ALAM 14 Okt. - Seorang pelajar sebuah universiti swasta memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia terdengar bunyi letupan seakan-akan mercun lebih 10 kali diselangi siren kereta peronda polis pada malam Aminulrasyid Amzah mati ditembak pada 26 April lalu.
Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, berkata, bunyi itu semakin kuat menghampiri rumahnya di No. 7, Jalan Silat Gayung 11/3A di sini dan diakhiri dengan bunyi dentuman seperti objek melanggar dinding.
Menurut saksi pendakwa ke-15 itu, dia bergegas ke tingkap sebaik terdengar dentuman dan ternampak sebuah kereta telah melanggar dinding pagar rumah berhampiran.
"Pada kira-kira pukul 1.30 pagi, ketika berada di tingkat dua dan sedang membuat kerja di komputer, saya terdengar bunyi seperti letupan mercun dari arah belakang.
"Ia berbunyi secara rambang 'tat tat tat tat' selang satu hingga dua saat antara satu sama lain dan semakin lama semakin kuat," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, daripada Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Dia dibicara mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut Zafrullah, dia bergegas ke halaman rumah untuk melihat dengan lebih dekat sebelum menuju ke tempat kejadian.
Dia hanya menyedari bahawa bunyi yang didengar sebelum itu adalah letupan senjata api apabila melihat kesan tembakan pada kereta yang terlanggar dinding termasuk cermin belakangnya yang pecah.
"Semasa berada di tebing rumah saya, saya nampak seorang lelaki sedang berlari ke arah Jalan 11/2 sambil dikejar oleh beberapa anggota polis yang menjerit 'jangan lari'.
"Apabila sampai di tempat kejadian, saya nampak Iswara Aeroback dengan pintu sebelah pemandu terbuka dan satu mayat dalam keadaan kepala tersembam di tempat duduk pemandu manakala badannya di luar kereta," jelas saksi.
Katanya, dia melihat anggota polis bersama kereta peronda serta beberapa orang awam telah berada di tempat kejadian sebaik sahaja sampai di kawasan itu.
Selepas setengah jam, dia melihat polis mula memasang garisan kuning di sekeliling kawasan kemalangan dan orang ramai yang berada berhampiran diarah berundur.
Zafrullah berada di tempat kejadian sehingga pukul 3.30 pagi dan hanya mengetahui mayat yang dilihat pada malam itu adalah Aminulrasyid, adik kepada rakannya pada keesokkan hari.
Sementara Lans Koperal Shamsul Kamar Ismail pula memberitahu, dia tidak mendengar sebarang bunyi tembakan semasa melihat dua kereta peronda polis mengejar sebuah kereta Proton Iswara pada awal pagi hari kejadian.
Dia yang memandu sebuah lagi kereta peronda bersama Konstabel Mulkeet Singh di Bulatan Kayangan menuju ke arah Hotel Concorde dekat sini hanya mendengar bising daripada siren keretanya pada ketika itu.
Shamsul bagaimanapun mengesahkan dua kereta peronda tersebut memasang siren dan pembesar suara sambil mengejar Proton Iswara yang dipandu secara melulu dengan laju tanpa mematuhi lampu isyarat.
Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas, Hakim Latifah Mohd. Tahar yang mendengar kes itu akan melawat tempat kejadian serta kawasan berhampiran bersama pasukan pendakwaan dan pihak pembelaan, pada Selasa ini.
No comments:
Post a Comment