sumber
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Penahanan tujuh kakitangan Jabatan Imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) suatu pengajaran dan peringatan paling bermakna untuk semua orang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tindakan ke atas kakitangannya itu yang didakwa terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing wajar kerana ia melibatkan imej negara.
Katanya, hukuman itu tidak harus dilihat sebagai berat sebaliknya ia dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada berdasarkan bukti kukuh.
"Isu keselamatan dalam negara merupakan fokus utama kerajaan. Penyeludupan manusia adalah satu isu serius yang menjejaskan maruah negara.
"Kita tidak mahu rakyat negara luar kata rakyat kita mudah dibeli dengan wang ringgit. Apa yang berlaku ke atas mereka yang ditahan bawah ISA perlu dijadikan pengajaran untuk semua orang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) Wilayah Tengah di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.
Abdul Rahman yang akan memegang jawatan Setiausaha Bahagian Imigresen di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkuat kuasa Jumaat ini mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam, berhubung penahanan sembilan individu termasuk tujuh kakitangan Jabatan Imigresen di bawah ISA.
Penahanan kesemua suspek yang dilakukan dalam operasi besar-besaran selama tiga hari bermula Ahad lalu itu turut melibatkan dua warga asing yang bagaimanapun tidak didedahkan identiti negaranya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berharap bakal Ketua Pengarah Imigresen yang baru akan meneruskan misi dan visi jabatan terbabit melaksanakan dana RM100 juta yang baru-baru ini diluluskan kerajaan, untuk menaik taraf 13 depot tahanan sementara warga asing dengan sebaik mungkin.
"Ia perjuangan yang panjang dan amat malang jika usaha murni itu tidak diteruskan. Gunakan peluang ini sebaik mungkin," katanya.
No comments:
Post a Comment