Thursday, October 14, 2010

Aminulrasyid mati tertiarap


SHAH ALAM 13 Okt. - Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati akibat tertembak ketika dikejar oleh kereta peronda polis disahkan meninggal dunia semasa mangsa diperiksa oleh seorang petugas Bahagian Perkhidmatan Ambulans 999 pada pukul 2.23 pagi, 26 April lalu.
Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Muhamad Sahid Abdul Karim membuat pengesahan itu apabila tiada sebarang denyutan nadi serta degupan jantung dikesan selepas pemeriksaan dilakukan sebanyak dua kali.
Dia yang merupakan saksi pendakwa kesembilan berkata, mangsa ketika itu berada dalam keadaan tertiarap dengan muka tersembam pada tempat duduk pemandu manakala badannya berada di luar sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih.
"Saya suluh mangsa dengan lampu kecil dan nampak mangsa memakai seluar pendek dan baju T. Saya rasa nadi di bahagian leher dan dapati tiada sebarang denyutan.
"Kemudian saya periksa gunakan stetoskop dan dapati tiada pernafasan dan degupan jantung. Ini menunjukkan mangsa sudah pun meninggal dunia," katanya semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut Muhamad Sahid yang berada di tempat kejadian selama 20 minit, dia tidak nampak sebarang kecederaan pada badan termasuk bahagian belakang apabila menyelak baju mangsa.
Bagaimanapun, jelas beliau, terdapat kesan darah pada sarung tangan yang dipakainya selepas dia memegang dahi mangsa.
"Saya pegang bahagian dahi mangsa untuk pusingkan kepala bagi melihat kecederaan, tetapi ada anggota polis melarang saya mengerakkan mangsa daripada kedudukan sebenar.
"Jadi saya pun berhenti dan saya tengok sarung tangan saya ada darah. Saya ada minta pengenalan mangsa, tetapi anggota polis yang berada di situ menjawab 'apa-apa tunggu pegawai penyiasat datang'.
"Saya juga ada bertanya siapa yang gerakkan dan letak mangsa di luar kereta dan saya dapat jawapan yang sama," katanya yang kemudian pulang ke HTAR tanpa membawa mayat Aminurasyid.
Muhammad Sahid sebelum itu memaklumkan, dia menerima panggilan kecemasan yang mengatakan ada sebuah kereta terbabas di Jalan Mak Yong, Seksyen 11 kawasan perumahan di Shah Alam pada pukul 2.02 pagi hari kejadian.
Apabila sampai, dia melihat sebuah kereta Proton Iswara putih tersadai antara dinding pagar rumah dan sebatang pokok dengan garisan kuning polis mengelilingi kawasan kemalangan itu.
Sementara itu, Konstabel Malkeet Singh pula memberitahu, dia melihat dua kereta peronda polis sedang mengejar sebuah kereta Proton Iswara putih ketika sedang berpusing di Bulatan Kayangan di sini.
Dalam kejadian antara pukul 1.20 dan 2 pagi, 26 April lalu, katanya, ketiga-tiga kereta yang dipandu laju itu hilang daripada pandangan sebelum ditemui berpandukan cahaya lampu siren.
Apabila sampai di tempat kejadian, Malkeet yang bertugas di Unit Kereta Peronda IPD Shah Alam memberitahu, dia nampak seseorang berada di tempat duduk pemandu dengan kaki terkeluar dari Proton Iswara putih yang terbabas.
Dia turut membuat pengecaman ke atas empat anggota polis yang berada dalam dua kereta peronda tersebut iaitu Jenain, Konstabel Mohamad Hafizd Mohd. Yusof, Koperal Azhar Hashim dan Konstabel Mohd. Izham Mahayadin.
Seorang lagi saksi, Sarjan Mohd. Sani Mohd. Hassan mengesahkan Jenain merupakan seorang yang mahir dalam menggunakan senjata api sub-mesingan Heckler & Koch MP5 dan pistol semi automatik Walther 99.
Beliau yang merupakan Ketua Cawangan Persenjataan IPD Shah Alam berkata, tertuduh memperoleh markah 90/100 dan 75/100 dalam satu latihan menembak yang diadakan pada 13 dan 15 Oktober tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Hamid manakala tertuduh diwakili peguam M. Athimulan dan Salim Bashir.
Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung esok.

No comments:

Post a Comment