Thursday, October 14, 2010

4 kampung akan dapat elektrik


BERA 13 Okt. - Berita gembira buat lebih 600 keluarga di empat kampung termasuk penempatan Orang Asli dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan di sini apabila mereka bakal menikmati bekalan elektrik tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Padil Osman berkata, kerja memasang tiang dan kabel elektrik di Kampung Lubuk Tembangau, Kampung Pasal, Kampung Suba Serting dan Kampung Durian Kuning dimulakan baru-baru ini.
Katanya, apabila siap sepenuhnya nanti, penduduk kampung berkenaan tidak lagi hidup dalam serba kekurangan apabila terpaksa menggunakan pelita dan generator sebelum ini.
"Bagaimanapun bekalan elektrik untuk Kampung Pasal yang bersempadan dengan Negeri Sembilan akan disalurkan melalui kabel bawah tanah kerana pemilik ladang tidak membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membina tiang di kawasan tanahnya itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bakti Siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di penempatan semula Orang Asli di Pos Iskandar dekat sini, hari ini.
Mohd. Padil memberitahu, selain bekalan elektrik, pemilik ladang itu juga tidak membenarkan tanahnya digunakan untuk menyalurkan paip air ke Kampung Pasal.
Beliau berkata, Kampung Pasal didiami 70 keluarga dan mereka tidak pernah menikmati bekalan air bersih sejak negara mula mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta pihak universiti yang menjayakan projek bakti siswa supaya lebih proaktif dan meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk yang dipilih menyertai program itu.
Selain projek gotong-royong dan motivasi, beliau berharap mahasiswa dapat mengaplikasikan ilmu yang mereka pelajari di kuliah untuk dimanfaatkan kepada penduduk kampung.
"Sebagai contohnya, penuntut jurusan kejuruteraan berkaitan geografi, alam semulajadi dan sumber asli dapat membantu penduduk kampung memanfaatkan sumber air bawah tanah atau penggunaan tenaga solar di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
"Secara tidak langsung, ia dapat membantu penduduk yang menghadapi kedua-dua kemudahan asas itu mengatasi masalah mereka untuk kegunaan jangka panjang," katanya.

No comments:

Post a Comment