KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ahli-ahli Parlimen hari ini membidas tindakan tidak bertanggungjawab Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup tidak menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat semata-mata untuk ke Indonesia bagi memburukkan nama negara.
Menurut mereka, tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuktikan beliau hanya berjuang untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesan perbuatannya itu kepada rakyat negara ini keseluruhannya.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mencapai matlamatnya bagi menjadi Perdana Menteri.
"Saya tidak hairan sebab fokus dia adalah hendak menjadi Perdana Menteri dan akan melakukan apa sahaja termasuk ke Indonesia atau mana-mana negara untuk memburukkan Malaysia.
"Kalau dia puji Malaysia, susahlah dia nak mencapai matlamatnya untuk mendapat jawatan berkenaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Anwar ketika diwawancara dengan stesen televisyen TVOne di republik itu semalam yang memperlekeh kemampuan kepimpinan negara untuk menyelesaikan segala pertikaian dan masalah antara kedua-dua negara dengan mendakwa jika beliau menjadi Perdana Menteri, ia boleh diselesaikan dengan segera.
Dakwanya, beliau hanya memerlukan beberapa minggu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap segala kemelut yang berlaku melibatkan kedua-dua negara.
Sementara itu, Anwar pada sidang akhbarnya selepas pertemuan dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Indonesia, Priyo Budi Santosa pula mendakwa pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di Indonesia jauh lebih baik daripada Malaysia.
Menurut Ibrahim, Anwar tidak akan berhenti memburuk-burukkan negara selagi dia tidak mendapat jawatan Perdana Menteri.
"Saya cukup kesal, sepatutnya jangan sampai kita pergi ke luar negara memburukkan nama Malaysia kerana ia adalah seperti kita memburukkan keluarga dan rumah tangga kita sendiri," katanya.
Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan Anwar yang memburukkan negara adalah berpunca kerana sakit hati dengan kejayaan yang telah dicapai kepimpinan sekarang.
"Apa yang dia cakap di republik berkenaan adalah tidak betul dan saya juga terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan-rakan di Indonesia bagi memaklumkan perbuatannya.
"Saya juga sangat sedih kerana dia sanggup tinggalkan sidang Dewan. Saya yakin rakyat akhirnya akan tahu 'belang' sebenar siapa Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, sesiapa sahaja tidak sepatutnya memburuk-burukkan negara semata-mata kerana mempunyai perbezaan pandangan dari segi politik.
"Segala pertikaian ataupun perbalahan ini harus diselesaikan sesama kita dan bukannya didedah kepada pihak-pihak di luar negara.
"Bagi saya Anwar tidak harus membawa keluar segala perbalahan ini untuk memburuk-burukkan nama negara kerana kita sepatutnya mempunyai perasaan bertanggungjawab," katanya.
No comments:
Post a Comment