PUTRAJAYA 13 Okt. - Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO yakin gadis tempatan, Nur Dhiya Ain Rosman (gambar), 19, yang akan menghadapi perbicaraan atas kesalahan menyeludup dadah di Afrika Selatan, Jumaat ini, mempunyai peluang untuk dibebaskan.
Pengerusinya, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, berdasarkan bukti yang dikumpulkan oleh peguam dilantik oleh biro itu menunjukkan mangsa tidak berniat untuk memiliki dan mengedar dadah di negara itu sebaliknya telah diperdayakan oleh satu sindiket yang dipercayai beroperasi di Nigeria.
''Nur Dhiya Ain menjadi mangsa kerana ditipu dengan tawaran pekerjaan yang secara kasarnya dilihat tidak menyalahi undang-undang.
''Malah inilah asas utama yang akan diperjuangkan bagi memastikan mangsa memperoleh keadilan yang sewajarnya dalam perbicaraan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nur Dhiya Ain akan menghadapi perbicaraan di Mahkamah Majistret Belleville, Cape Town pada Jumaat ini.
Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO yang sebelum ini menggerakkan usaha menyelamatkan gadis itu telah mengambil langkah menghantar dua peguam bagi menghadapi perbicaraan itu.
Nur Dhiya yang dikenali dengan panggilan 'Baby' dilapor menghilangkan diri dipercayai mengikuti kenalannya, seorang warga Afrika telah ditahan di Lapangan Terbang Cape Town atas kesalahan menyeludup dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram pada 14 Ogos lalu dan kini ditahan di pusat tahanan Ravensmead sementara menunggu perbicaraan.
Nur Dhiya Ain telah diperdaya dengan janji pekerjaan sebagai operator pelancongan bergaji lumayan setibanya di Afrika Selatan.
Muhd. Khairun memberitahu, pihaknya dimaklumkan bahawa hasil siasatan oleh pihak berkuasa negara berkenaan menunjukkan Nur Dhiya Ain menjadi mangsa penipuan.
''Hasil siasatan ke atas mangsa telah membolehkan mereka mengesan penipuan itu dilaksanakan oleh satu sindiket yang beroperasi di Nigeria.
''Peguam kami di sana juga tidak menolak kemungkinan Nur Dhiya Ain akan menjadi saksi kepada pihak polis di sana," katanya.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan usaha tersebut bukan hanya untuk membela Nur Dhiya Ain dan keluarganya tetapi sebagai pengajaran kepada seluruh masyarakat di negara ini.
Katanya, rakyat negara ini perlu diberikan kesedaran tentang kewujudan pihak tertentu yang ingin memperalatkan gadis-gadis tempatan sebagai 'keldai dadah'.
''Memang wujud satu sindiket dadah yang bertopengkan pelbagai taktik bagi memerangkap gadis tempatan," katanya.
No comments:
Post a Comment