Thursday, October 14, 2010

Kertas lulus balak dijual kepada pihak ketiga


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mendedahkan berlaku penyelewengan dalam pengagihan konsesi balak di Kelantan apabila ada pihak yang dianugerahkan kawasan pembalakan menjual kertas kelulusan kepada pihak ketiga.
Beliau berkata, tindakan itu membolehkan pihak berkenaan mendapat keuntungan sehingga RM250,000 bagi setiap kawasan seluas 20 hingga 50 hektar walaupun lokasi pembalakan masih belum diketahui.
"Begitulah nilai balak di Kelantan. Banyak kawasan sudah diluluskan kononnya untuk projek pembangunan dan pertanian.
"Mereka tebang balak tetapi tidak membangunkan kawasan itu untuk projek pertanian yang dijanjikan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat hari ini.
Ibrahim mencadangkan supaya Kerajaan Pusat mengkaji semula undang-undang pembalakan sedia ada termasuk terlibat sama dalam aktiviti jawatankuasa kelulusan pembalakan yang diwujudkan oleh setiap kerajaan negeri.
Katanya, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan dalam proses kelulusan kawasan dan pengambilan balak serta mengatasi masalah kecurian balak.
"Saya kira sudah sampai masanya undang-undang sedia ada dikaji balik. Walaupun pembalakan ini tanggungjawab kerajaan negeri, kita perlu pinda undang-undang supaya kerajaan Pusat turut mempunyai kuasa dalam jawatankuasa yang meluluskan kawasan balak.
"Sama ada kerajaan Pusat atau kementerian mahupun lembaga tertentu perlu ada sama dalam jawatankuasa kelulusan di setiap negeri," katanya.
Menurut Ibrahim, langkah itu juga bagi menjamin proses kelulusan kawasan pembalakan di setiap negeri dilakukan dengan telus.

No comments:

Post a Comment