Thursday, October 14, 2010

Abdul Rahman ditukar ke KDN


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Desas-desus yang mengatakan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, bakal 'ditukarkan' akhirnya terbukti benar apabila beliau hari ini mengesahkan menerima surat rasmi mengenai pertukaran jawatan itu.
Abdul Rahman, 53, ditukarkan sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkuat kuasa Jumaat ini.
Kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Abdul Rahman akan diisi oleh Datuk Alias Ahmad yang kini merupakan Setiausaha Bahagian Keselamatan di KDN.
Majlis penyerahan tugas dijangka diadakan pukul 9 pagi Jumaat ini.
Abdul Rahman yang dihubungi Utusan Malaysia di sini memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi satu surat yang dihantar oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pagi ini.
"Saya tidak terkejut dengan perkara ini kerana sebelum ini pun saya sudah dimaklumkan mengenai pertukaran jawatan saya.
"Sebagai seorang pegawai kerajaan yang diberi amanah berkhidmat untuk negara, saya akur dengan setiap keputusan yang dibuat oleh menteri terbabit.
"Saya sentiasa mengamalkan keterbukaan, tidak pernah menyembunyikan apa-apa fakta dan memberi kerjasama sebaik mungkin demi kepentingan negara," katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Abdul Rahman akur jika beliau ditukarkan berikutan insiden 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Ogos lalu.
Beliau berkata, teguran yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung perkara itu adalah berasas kerana insiden itu membabitkan maruah negara.
Abdul Rahman yang dilantik Ketua Pengarah Imigresen sejak 21 Julai 2008 pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri (2003-2006).
Beliau sebelum ini pernah menjadi Pengarah, Bahagian Pekerja Asing, KDN (2006-2008).

No comments:

Post a Comment