Saturday, October 30, 2010

Bas hadapi masalah brek - penumpang



KUALA LUMPUR 29 Okt. - Bas persiaran yang terbabas di Kilometer 38, Lebuh Raya Karak berdekatan Genting Sempah malam ini sehingga meragut tujuh nyawa penumpangnya, dipercayai menghadapi masalah brek.
Salah seorang penumpang bas tersebut, Mohd. Zairul Hafizat Fadzil, 15, berkata, kejadian itu berlaku sewaktu hujan renyai dan sebelum kejadian bas dipandu dalam keadaan stabil dan tidak laju.
''Bagaimanapun ketika menuruni bukit, tiba-tiba pemandu bas itu tidak dapat mengawal brek sehingga kenderaan tersebut melanggar pembahagi jalan dan terbabas.
''Sewaktu kejadian bas dipandu oleh pemandu kedua kerana pemandu pertama telah memandu sejak pukul 11 malam tadi iaitu ketika kami bertolak dari Kampung Baru di Baling,'' katanya kepada pemberita di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika mendapatkan rawatan di sini malam ini.
Menurutnya, rombongan itu melibatkan seramai 44 penumpang termasuk seorang ustaz yang merupakan ketua rombongan selain pemandu bas dan pembantunya.
Tambahnya, mereka tiba di Genting Highlands pada pukul 8 pagi ini dan telah menghabiskan masa bermain-main di taman rekreasi di pusat peranginan itu .
Katanya, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke Kampung Baru Melayu Subang untuk mengikuti program homestay di sana .
''Kami telah merancang untuk bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur esok sebelum bertolak pulang ke Kedah pada pukul 11 malam esok,'' ujarnya.
Rakan mangsa, Ahmad Amirul Syukri, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Siong berkata, selepas kejadian itu dia terpaksa merangkak keluar melalui tingkap bas yang telah pecah.
''Tetapi kerana keadaan yang tidak terkawal dan tergesa-gesa, saya mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pelawat Hospital Baling, Alias Abu Bakar yang ditemui selepas melawat mangsa berkata, beliau dimaklumkan seramai lima mangsa berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di HKL.
Jelasnya, terdapat beberapa mangsa lain yang kini dirawat sebagai pesakit luar.
Katanya, sebahagian mangsa juga telah dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, selain belia dari Kampung Baru, sebahagian mereka juga berasal dari Kampung Pokok Setol dan Kampung Lalang yang kesemuanya terletak dalam Mukim Siong.

No comments:

Post a Comment