DAIF...Salma bersama empat daripada lapan anaknya.
BACHOK: Akibat kesempitan hidup, 12 beranak terpaksa bersesak dalam kandang lembu diubah suai menjadi bangsal mereka di Kampung Pak Mali, Bakong dekat sini, sejak setahun lalu.
Walaupun hidup dalam keadaan sukar dan serba kekurangan, itu hakikat terpaksa dilalui keluarga Salma Mamat, 36, dan Zakaria Abdullah, 42, selepas dihalau pemilik rumah sewa mereka di Pekan Gunong sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.
Salma berkata, suaminya yang bekerja sebagai buruh hanya mampu menyediakan makan minum ala kadar untuk keluarga.
“Kami tiada pilihan selain tinggal di dalam bekas kandang lembu ini sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas. Jika hujan lebat, tanah yang menjadi lantai rumah kami akan becak menyebabkan kami bertambah tidak selesa,” katanya sayu.
Dalam menjalani kehidupan seharian, pasangan itu terpaksa bersesak-sesak dengan lapan anak berusia antara setahun setengah hingga 22 tahun selain dua menantu iaitu isteri kepada anak sulung dan kedua mereka.
Biarpun sejumlah 12 orang tinggal di dalam bangsal yang serba daif itu, keluarga Salma hanya mempunyai satu katil buruk sebagai tempat tidur paling selesa.
Lapan anak Salma dan Zakaria ialah Mohd Badrul Hisham, 22; Mohd Badrul Azizi, 21; Sri Dalila, 18; Mohd Badrul Fauzi, 16; Mohd Badrul Hakimi, 15; Mohd Badrul Aminuddin, 13; Sri Mas Ayu, 6, dan Sri Dahlia Natasya, setahun setengah.
Katanya, biarpun anak sulung dan keduanya sudah berkahwin serta bekerja, namun mereka terlalu miskin untuk membantu keluarga.
“Malah, isteri mereka turut tinggal bersama kami, menjadikan keadaan bangsal kami bertambah sesak. Dua anak lelaki saya hanya bekerja sebagai buruh dan mereka juga tidak mampu memiliki rumah sendiri.
“Memang sukar bagi kami meneruskan kehidupan setiap hari dan hanya mampu menikmati nasi berlauk kangkung dan budu. Jika teringin sangat makan lauk ikan, anak saya akan mencarinya di sekitar bendang dan sungai berdekatan,” katanya.
Salma berkata, dia sekeluarga amat mengimpikan sebuah rumah yang lebih sempurna bagi membesarkan anak.
“Rumah adalah keutamaan saya ketika ini, tambahan pula musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi.
“Jika kami masih tinggal di bangsal ini bermakna sepanjang malam kami akan tidur beralaskan tanah yang basah selain menghadapi masalah bumbung bocor,” katanya.
No comments:
Post a Comment