Saturday, October 30, 2010

Waris mayat gadis dalam beg dicari





2010/10/30

pix_gal0
KUALA LUMPUR: Mayat seorang gadis yang ditemui dalam beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di Hulu Klang, dekat sini, semalam disahkan mati akibat pendarahan teruk dalam perut. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata laporan bedah siasat yang diperoleh semalam mendapati gadis berumur awal 20-an itu mati akibat ditendang atau dipukul dengan objek keras di perut.
"Selain pendarahan di perut, ada juga kesan lebam di muka mangsa. Namun, tiada kecederaan luar dikesan pada tubuh mangsa yang mati dalam tempoh 24 jam itu," katanya di sini, semalam.
Abdul Jalil berkata, tiga keluarga datang ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi membuat pengecaman ke atas mayat itu. 

"Setakat ini, tiga keluarga termasuk yang berasal dari Indonesia sudah membuat pengecaman ke atas mangsa berikutan kehilangan ahli keluarga mereka tetapi mengesahkan bukan ahli keluarga mereka," katanya. 

Abdul Jalil berkata, polis tidak menerima sebarang laporan terbaru setakat ini. 

Dalam kejadian itu, mayat gadis terbabit ditemui oleh seorang pekerja bengkel kereta kira-kira pukul 3.30 petang dalam keadaan berlipat dan berpakaian lengkap. 
Polis percaya gadis itu bukan rakyat tempatan berikutan tiada parut suntikan vaksin BCG ditemui pada bahunya. Sehelai kertas yang bertulis nama dan nombor telefon negara asing turut ditemui dalam beg berkenaan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment