Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Siti Fatimah Mohamed Anwar
krull@bharian.com.my
2010/10/30
Pemilihan PKR di Kota Bharu hadapi masalah ALOR SETAR: Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, menerima tamparan hebat dalam pemilihan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Cabang Pokok Sena apabila hanya menerima dua undi berbanding pencabarnya Datuk Zaid Ibrahim dengan 20 undi.
Malah, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub hanya memperoleh satu undi saja. Hanya 23 daripada 314 pengundi Cabang Pokok Sena yang keluar bagi melakukan pengundian itu.Bagi pemilihan Cabang Alor Setar, Zaid sekali lagi mendahului dengan 59 undi, Mohamed Azmin hanya mendapat 20 undi manakala Mustaffa Kamil (lima).
Bagaimanapun, di Cabang Langkawi Mohamed Azmin mendahului dengan 116 undi, berbanding Zaid mendapat 74 undi dan Mustaffa Kamil memperoleh tiga undi.
Sementara itu, di KOTA BHARU, proses pemilihan di lima daripada 14 cabang PKR negeri diadakan semalam, berhadapan masalah sehingga menyebabkan ada ahlinya meninggalkan pusat pemilihan tanpa mengundi.
Cabang PKR Tumpat menyaksikan 200 daripada 1,600 ahli meninggalkan tempat pemilihan disebabkan kemudahan proses pengundian gagal disediakan dengan sempurna selain berhadapan kesuntukan masa untuk menghadiri majlis agama.
Ketua Cabang PKR Tumpat, Awang Che Mat, berkata proses pemilihan yang sepatutnya bermula jam 10 pagi terpaksa ditangguh setengah jam diikuti masalah kemudahan peralatan seperti pensil tidak disediakan untuk menanda kertas undi menyebabkan ahli berasa bosan hingga ada yang meninggalkan tempat itu.
Katanya, antara ahli mengambil keputusan pulang ialah kaum Siam kerana mereka terpaksa menghadiri majlis agama, manakala ahli beragama Islam perlu menunaikan solat Jumaat.
“Disebabkan lewat proses untuk membuang undi selain kemudahan peralatan tidak lengkap, 200 daripada 1,600 ahli dari cabang Tumpat, meninggalkan pusat pemilihan,” katanya.
Proses pemilihan turut menghadapi masalah apabila proses pemilihan terpaksa ditunda satu jam disebabkan pengawas pemilihan dari Kuala Lumpur lewat tiba.
Ketua Cabang PKR Kota Bharu, Abdul Halim Harun, berkata disebabkan pengawas berkenaan berhadapan masalah penerbangan, proses pemilihan dimulakan lewat sejam iaitu jam 11 pagi berbanding masa sebenar jam 10 pagi dan dipanjangkan dari jam 4 petang ke jam 5 petang.
No comments:
Post a Comment