Monday, November 15, 2010

Depa tak mau berundur sibuk suruh orang berundur

UMNO cabar Pas berundur 

KOTA BHARU-UMNO mencabar Pas supaya terlebih dahulu berundur di negeri yang bermasalah di bawah pemerintahan mereka (Pakatan Rakyat) sebelum menyarankannya kepada pihak lain.

Ketua Penerangan UMNO Negeri, Dali Husin berkata, sepatutnya Pas membuktikan dahulu corak pemikiran pemimpin tersebut yang meminta UMNO berundur secara terhormat.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan supaya UMNO perlu berundur secara terhormat jika tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat, sekali gus mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Membidas kenyataan itu, Dali yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa turut mencabar Pas melaksanakan cadangan tidak masuk akal itu di negeri bermasalah dan bukannya setakat mencadangkan kepada parti lawan.

“Kita lihat di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah ada masalah dengan pemerintahan mereka, jadi saya mengarahkan supaya Pas laksanakan cadangan tersebut di tempat mereka.

“Pas kena buat di negeri ini, buktikan kata-kata ini dengan mereka dahulu sepatutnya berundur kerana rakyat sudah mula tidak menyenangi pentadbiran mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sambil menyifatkan Pas tidak dapat menerima sistem demokrasi pemerintahan berdasarkan pilihan rakyat, Dali turut menyangkal kemampuan pembangkang untuk memerintah negara.

“Bagi saya kenyataan Abdul Hadi tersebut adalah kerana wujudnya kebimbangan beliau terhadap sokongan rakyat yang kembali memilih UMNO,” katanya.

Dali juga secara sinisnya menyatakan Pas hanyalah boneka dan alat kepada PR, malah hanya mempunyai peratusan yang kecil sahaja untuk memerintah negara.

“Pas hanya digunakan oleh pihak lain untuk mengukuhkan kuasa mereka dan jika mereka mempunyai kekuatan sudah tentu masalah tidak akan timbul di negeri pemerintahan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment