KUANTAN 14 Nov. - Kisah orang ramai tidak mematuhi peraturan lalu lintas apabila tidak menggunakan jejantas yang disediakan adalah perkara biasa.
Sikap negatif sedemikian seharusnya dielakkan kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan jalan tetapi merupakan pembaziran wang kerajaan.
Selain itu, tindakan tidak menggunakan jejantas boleh mengakibatkan seseorang itu dikenakan saman oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, jika melihat kepada keadaan jejantas di Tanah Putih Baru di sini, tiada siapa boleh menyalahkan orang ramai jika mereka enggan menggunakan kemudahan tersebut.
Penduduk di sekitar kawasan berkenaan enggan menggunakan jejantas itu untuk melintas jalan berikutan keadaannya yang uzur terutama pada bahagian tangga dan lantainya yang reput serta berlubang-lubang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati memang terdapat kesan tampalan pada beberapa bahagian yang berlubang tetapi ia mungkin tidak dapat bertahan lama.
Seorang penduduk, Wan Zaiton Wan Long, 35, memberitahu, keadaan jejantas tersebut membahayakan penduduk terutama kepada pelajar sekolah yang menggunakannya setiap hari.
"Jejantas ini merupakan laluan kepada pelajar yang pergi dan pulang dari sekolah setiap hari dan mereka dibelenggu ketakutan setiap kali menggunakan jejantas tersebut.
"Bayangkan lubang-lubang yang terdapat di jejantas tersebut menyebabkan pengguna boleh nampak jalan raya dan kenderaan yang lalu lalang di bawahnya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.
Menurut Wan Zaiton, masalah itu pernah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan dan mesyuarat sekolah.
"Selepas dikemukakan masalah ini, pihak berkenaan telah membaiki kerosakan tersebut tetapi tidak secara menyeluruh dan ia mengakibatkan masalah yang sama terus berlaku.
"Saya terpaksa melangkah beberapa anak tangga dan melangkah kaki dengan lebih besar kerana bimbang terperangkap ke dalam anak tangga yang rosak," jelasnya.
Menurut Wan Zaiton, jejantas tersebut perlu dibaiki segera sebelum kerosakan tersebut menjadi lebih parah.
''Pihak yang bertanggungjawab perlu sentiasa melakukan pemantauan dan penyelenggaraan di setiap bahagian jejantas bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku," tegasnya.
Seorang murid Sekolah Kebangsaan Tanah Putih, Rabieatul Adawiyah Nabila Asyikin Rasid, 12, berkata, dia menggunakan jejantas tersebut setiap hari untuk pergi dan pulang dari sekolah.
No comments:
Post a Comment