PEKAN 14 Nov. - Jika dilihat dari luar, Siti Zubaidah Abd. Razak, 4, tidak ubah seperti kanak-kanak perempuan lain, yang ceria menjalani kehidupan hariannya.
Dari hujung rambut hingga hujung kakinya langsung tidak menunjukkan tanda yang kanak-kanak ini menghidap sebarang penyakit.
Namun di sebalik wajah cerianya itu, tersimpan cerita mengenai penyakit leukemia kronik malah dipercayai sudah tidak mempunyai harapan untuk sembuh.
Walaupun dia hanya kanak-kanak dan tidak mengetahui apa-apa, Siti Zubaidah kelihatan begitu tabah menghadapi dugaan itu.
Meskipun sudah tidak mempunyai harapan untuk sembuh namun bapanya, Abdul Razak Ali, 55, tidak pernah berputus asa untuk mengubati penyakit anaknya.
Katanya, punca penyakit anaknya itu diketahui sejak lima bulan lalu apabila anak bongsunya itu mula demam sebelum darah keluar dari hidungnya.
"Saya terus menghantar dia ke Hospital Pekan sebelum doktor di situ menyarankan supaya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
"Hampir seminggu anak saya berada di HTAA, doktor kemudian menyarankan supaya anak saya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengetahui punca penyakit anak saya. Di situlah doktor mengesahkan anak saya menghidap penyakit leukemia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Cenderawasih di sini hari ini.
Katanya, bermula saat itulah dia mula berulang-alik ke HKL untuk menghantar Siti Zubaidah menerima rawatan.
"Kira-kira sebulan lalu Siti Zubaidah ditahan di wad sebelum doktor mengesahkan bahawa dia tidak boleh diselamatkan lagi.
"Doktor memberitahu bahawa darah putih anak saya terlalu banyak sehingga 60 peratus daripada darah merah," katanya dalam nada sedih.
Abd. Razak memberitahu, selepas diarah pulang dari HKL semalam, dia kini berhasrat merawat penyakit anaknya yang berada di tahap akhir dengan perubatan tradisional.
Namun apa yang merunsingkan Abdul Razak dan isteri, Supilah Husin, 50, ialah kos perubatan yang ditanggung sepanjang lebih sebulan Siti Zubaidah menerima rawatan di HKL sejak disahkan menghidap leukemia.
Dia kini memerlukan kira-kira RM5,000 untuk melangsaikan bayaran yang masih tertunggak.
Siti Zubaidah yang dilahirkan sihat kini menerima rawatan bulanan termasuk kos ubat-ubatan bernilai hampir RM400 sebulan.
Dengan keadaan hidupnya yang daif dengan bekerja sebagai pembersih kebun, Abdul Razak hanya memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari untuk menyara lima ahli keluarganya dan tidak mampu menampung kos tersebut.
"Saya hanya berharap ada orang dapat membantu menyelamatkan anak saya ini dan membantu menyelesaikan bayaran kos anak saya semasa berada di HKL," katanya.
Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Bumiputra Commerce bernombor 1210-0014164-52-8 atau alamatkan kepada Abdul Razak Ali, No. B46, Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan atau menghubunginya di talian 013-9071613.
No comments:
Post a Comment