Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
2010/11/29
KUALA LUMPUR: Jaringan Kampung Orang Asli Malaysia (JKOAM) menyeru kerajaan supaya siasatan awam yang telus dijalankan mengenai elaun Tok Batin yang didakwa menerima hanya separuh daripada RM450 sebelum ini. Menerusi siasatan itu, JKOAM meminta senarai terperinci bagaimana peruntukan berjuta untuk kemudahan asas itu digunakan termasuk senarai kampung yang sudah mendapat kemudahan berkenaan.Pengerusi JKOAM, Tijah Yok Chopil, berkata pihaknya gembira dengan pengumuman kenaikan elaun Tok Batin sebanyak RM800 sebulan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbanding RM450 pada masa ini, tetapi terkejut kerana kebanyakan Tok Batin hanya menerima RM200 berbanding RM450 itu.“Kami terkejut kerana selama ini Tok Batin tidak pernah mendapat RM450 tetapi cuma RM200 sebulan, yang diberikan dalam tempoh setahun atau tiga bulan sekali, malah ada masanya tempoh pembayaran elaun ditunda kepada beberapa bulan tanpa alasan jelas.
“Jika benar elaun yang sepatutnya diberikan itu berjumlah RM450 sebulan, sedangkan Tok Batin hanya menerima RM200 sebulan, ke manakah perginya perbezaan baki RM250 itu?
“Ada kes Tok Batin tidak pernah mendapat elaun itu dan bagaimana mahu naik kepada RM800 itu?” katanya yang ditemui pada sidang media di sini baru-baru ini yang turut dihadiri lebih 100 Orang Asli (OA) termasuk 20 Tok Batin dari Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
“Akibat ketiadaan elaun, kampung OA masih mundur dan jauh ketinggalan daripada pembangunan pesat di bandar seperti ketiadaan kemudahan air bersih, elektrik dan jalan bertar. Misalnya Kampung Dong yang masih mundur kerana Tok Batinnya tidak pernah menerima elaun sejak 19 tahun lalu,” katanya.
Tok Batin Kampung Dong di Muadzam Shah, Pahang, Kelipit Tenggek, 67, yang ditemui turut mengakui terpaksa berulang alik merayu kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk mendapatkan elaun bulanan tetapi sehingga kini masih belum menerimanya.
“JHEOA meminta saya menunggu setiap kali masalah itu diajukan dan sehingga kini, kampung kami ketinggalan dari banyak segi.
“Murid sekolah terpaksa menyeberang sungai dengan perahu untuk ke sekolah kerana kampung kami tiada jambatan dan tiada bekalan elektrik, selain bekalan air dari tangki disediakan juga sering terputus,” katanya.
Tok Batin Kampung Buluh Nipis, Panjang Tangkak, 68, mendakwa kali terakhir mendapat elaun sebanyak RM700 untuk tempoh tujuh tahun pada 14 Februari 2007 lalu dan sehingga kini tidak menerima sebarang elaun lagi.
“Akibat tidak mendapat elaun, saya memetik kelapa sawit di kebun sendiri yang terbabit dalam projek Tanaman Semula Komersil (TSK) untuk dijual sehingga ditangkap sebanyak empat kali dan pernah ditahan selama 13 hari di Balai Polis Rompin pada September tahun lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment