Thursday, December 30, 2010

Alat ganti tiruan dikatakan punca banyak bas terlibat dalam nahas

PETALING JAYA: Kecenderungan kebanyakan syarikat pengusaha bas menggunakan alat ganti tiruan dikatakan menjadi punca banyak bas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Datuk Zainal Rampak, berkata alat ganti tiruan digunakan kerana ia dapat meminimumkan kos syarikat selain mudah didapatkan.'Situasi penggunaan alat tiruan telah lama berlaku namun tidak ramai yang melaporkan kepada pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).'Kita perlu memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana ia melibatkan nyawa dan kita tidak mahu lagi perkara yang tidak diingini berlaku,' katanya dalam satu sidang akhbar di pejabat TWU di sini, kelmarin.Datuk Zainal mengulas tentang kemalangan sebuah bas dua tingkat yang meragut 28 nyawa di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada 20 Disember lalu.Pada Ahad lalu pula, sebuah lagi bas dua tingkat terlibat dalam kemalangan apabila ia terbabas ke laluan bertentangan sebelum terbalik ke dalam parit di Kilometer 363, Jalan Raub-Bentong.Dalam kejadian itu 39 penumpangnya terselamat tetapi lapan mengalami kecederaan, termasuk dua orang parah.Datuk Zainal berkata alat ganti tiruan yang sering digunakan ialah cakera brek kitar semula.Ada menggunakan alat ganti tidak sesuai dengan model bas.'Cakera brek tiruan apabila ditekan berkali-kali ketika menuruni bukit akan menjadi panas dan akhirnya akan menyebabkannya gagal berfungsi pada saat kecemasan,' ujar beliau.Datuk Zainal turut mencadangkan pengharaman penggunaan bas dua tingkat di kawasan berbukit kerana ia tidak sesuai dengan keadaan muka bumi itu.'Bas berkenaan jika digunakan di kawasan berbukit akan menyebabkan keseimbangan terganggu, terutama jika dipenuhi penumpang, dan ini akan membahayakan semua yang berada dalam bas.'Sebaliknya, ia lebih sesuai digunakan di kawasan bandar sahaja,' kata Datuk Zainal. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment