NU tolak Indonesia negara Islam
LOMBOK TIMUR 29 Dis. – Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) menolak cadangan untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Islam.Pengerusi NU, Said Aqil Siradj berkata, NU akan kekal dengan komitmennya menyokong ‘Pancasila’, ideologi Indonesia yang dibentuk pada 1945 dan tidak ada sebab untuk mengubahnya.
“NU akan terus menyokong sepenuhnya Pancasila sebagai asas undang-undang negara ini ,” katanya kepada beratus-ratus anggota NU di Pondok Pesantren, Izudin Al Badar di Kampung Rakam di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat.
Menurut beliau, Pancasila selaras dengan persepsi Indonesia terhadap dunia dan diterima oleh semua rakyat dari Sabang hingga ke Merauke.
“Mari kita sama-sama menyokong asas negara yang sedia ada ini dengan harapan ia dapat membangunkan Indonesia dengan lebih baik,” katanya.
Said Aqil Siradj berkata, jika Indonesia menjadi sebuah negara Islam, ia perlu menjamin kelakuan dan tingkahlaku rakyatnya selari dengan ajaran Islam.
Katanya, banyak penduduk terutamanya di negara yang menggunakan Islam sebagai asas mereka tidak berkelakuan seperti yang diajar oleh agama Islam. Ini perlu ditimbangkan sebelum menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara Islam.
“Negara Islam tidak sesuai di negara ini dan membentuk negara Islam bukan mudah seperti yang difikirkan oleh beberapa pihak,” tegas Said Aqil. – Bernama
-utusan
No comments:
Post a Comment