BERBAHAYA...Lim menunjukkan tanah runtuh berdekatan pangsapuri Pandan Lake View. |
AMPANG: “Kami bimbang,” itu yang diluahkan Presiden Persatuan Penduduk Pandan Perdana, AC Lim terhadap kejadian tanah runtuh berdekatan pangsapuri Pandan Lake View, dekat sini.
Katanya, kejadian itu berlaku sejak dua bulan lalu selepas kerja membaiki paip kumbahan tersumbat dilakukan Indah Water Konsortium (IWK) dengan mengorek tanah, tetapi bertambah parah dua minggu lalu selepas lubang yang digali tidak ditimbus.
Menurutnya, kerana hujan berpanjangan runtuhan terbabit semakin curam kira-kira tiga meter dengan keluasan 20 meter.
“Runtuhan itu semakin hampir dengan pangsapuri Lake View yang didiami 2,000 penduduk iaitu hanya setengah meter selain menghakis laluan utama penduduk untuk ke bandar.
“Kami takut kerana tanah runtuh itu menyebabkan jalan utama retak dan sempit sedangkan ia dilalui lebih 1,000 kenderaan sehari.
“Kami tidak mahu kejadian ini meragut nyawa terutama kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pada sidang media penduduk Lake View, semalam.
Lim berkata, tanah runtuh menyebabkan seorang penduduk terbabas minggu lalu dan hampir masuk ke dalam cerun, tetapi bernasib baik kerana penduduk membantu.
Katanya, sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkenaan, ia akan meragut nyawa penduduk.
Residen Ahli Komuniti Pandan Perdana, Chong Ah Kong, berkata aduan sudah dibuat kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), tetapi tiada tindakan diambil.
Katanya, dua minggu lalu MPAJ memantau keadaan itu, tetapi hanya meletak kayu di tepi runtuhan yang tambah membahayakan keselamatan penduduk.
“Kami mahu mereka menimbus runtuhan itu, bukan membiarkan ia semakin curam.
“Takkan nak tengok kejadian tidak diingini berlaku baru nak ambil tindakan,” katanya yang tinggal di pangsapuri berkenaan sejak 13 tahun lalu.
Menurutnya, jika dibiarkan runtuhan itu, mungkin struktur bangunan rumah berdekatan menjadi retak.
Sementara itu, jurutera Jabatan Kejuruteraan MPAJ, Zahari Mohammad Nor, berkata pihaknya mendapati paip pembetungan di pangsapuri itu pecah dan bocor sebelum IWK mengorek tanah dan membaikinya.
“Kami sudah menghantar surat kepada IWK. Kini MPAJ menunggu pengesahan sama ada paip berkenaan di bawah tanggungjawab IWK atau pengurusan pangsapuri terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, MPAJ akan menjalankan kerja membaik pulih tembok berkenaan selepas kerja membaiki paip pembetungan selesai.
No comments:
Post a Comment