Saturday, December 18, 2010

Isu APCO didakwa punca empat digantung 6 bulan





2010/12/18

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa isu APCO Worldwide (APCO) sebagai punca beliau dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan mulai kelmarin. 

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata sebagai badan perunding profesional, APCO seperti satu entiti kebal di Malaysia sehingga tidak boleh ‘disentuh’ mana-mana pihak.
“Apakah APCO ini... dia ‘dewata dari kayangan’ ke sehingga kita tidak boleh langsung hendak soal dia. Kita menuntut penjelasan APCO dalam kes ini (penggantungan empat Ahli Parlimen).
“Kerana APCO, empat Ahli Parlimen kita (pembangkang) digantung (menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan) tanpa mengikut peraturan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Damansara, semalam. 

Hadir sama, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan dua Ahli Parlimen yang turut digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (PKR-Subang Jaya). Seorang lagi Ahli Parlimen yang digantung ialah Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak). 

Kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan usul penggantungan empat Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Anwar berikutan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mendapati beliau membuat kenyataan tidak benar apabila cuba mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel. 

Karpal, Sivarasa dan Mohamad Azmin pula didapati menghina dewan yang juga bersabit dengan isu Anwar dan APCO.
Sementara itu, Karpal berkata, pembangkang akan mengheret Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah berhubung keputusannya menggantung empat Ahli Parlimen pembangkang, termasuk dirinya. 

Katanya, mereka akan mengemukakan saman secepat mungkin. Beliau turut menolak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa keputusan Dewan Rakyat tidak boleh dicabar di mahkamah. 

Mahfuz pula berkata, beliau akan merujuk dan melaporkan keputusan Dewan Rakyat itu kepada Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) dan Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU).

No comments:

Post a Comment