Saturday, December 18, 2010

Ulama berdakwah guna rangkaian sembang sosial


Ahmad Mustofa Bisri mempamerkan bahan yang dihantar kepada pengikutnya melalui iPad miliknya di Jakarta, semalam. - AFP


JAKARTA 17 Dis. - Seorang ulama berpengaruh daripada Nahdlatul Ulama (NU), sebuah pertubuhan Islam terbesar di negara ini Ahmad Mustofa Bisri menggunakan rangkaian sembang sosial Twitter dan telefon bistari untuk berdakwah dan mendekatkan diri dengan orang ramai.
Ulama berusia 66 tahun itu dikenali sebagai 'Kyai Gaul' atau 'ulama yang mengikut perkembangan zaman' kerana beliau sering mengemas kini ucapannya berunsur Islam melalui iPad atau Blackberry miliknya.
Ahmad Mustofa merupakan antara ketua agama konservatif dan liberal di republik ini yang menggunakan saluran Internet bagi menarik minat penganut Islam di negara yang merupakan majoriti penduduk di negara ini.
"Saya mewujudkan akaun Twitter bulan lalu kerana saya suka berkawan dengan sesiapa. Saya tidak menganggap diri saya sebagai ulama atau ketua agama. Saya suka berkongsi apa yang saya tahu.
"Adalah penting bagi sesiapa yang memahami kepercayaan ini untuk berdakwah. Mereka yang tidak tahu tetapi mengakui tahu, boleh menyebabkan kekeliruan orang ramai," katanya yang juga dikenali sebagai 'Gus Mus'.
Ahmad Mustofa kini mempunyai 7,000 pengikutnya di Twitter.
Selain mendekati penganut Islam menerusi Twitter, ulama itu turut mempunyai akaun Facebook yang kini mempunyai 2,600 rakan dan 62,000 peminat.
Pertubuhan Islam di Indonesia termasuk Hizbut Tahrir dan Barisan Pembela Islam (FPI) turut mempunyai laman web yang digunakan bagi menyatakan pendirian mereka dalam menyokong hukuman Syariah seperti merejam pesalah yang berzina dengan batu.
Indonesia kini muncul sebagai salah sebuah negara yang mempunyai bilangan pengguna Twitter paling ramai, jelas firma penyelidikan dalam talian comScore.
Menurut comScore, daripada 41 negara, Indonesia mencatat peratus tertinggi pengguna Internet di rumah dan pejabat yang mengakses Twitter pada Jun tahun ini atau lebih 20 peratus daripada 45 juta pengguna dalam talian. - AFP

No comments:

Post a Comment