KULAIJAYA 17 Dis. - Tiada apa yang diharapkan oleh seorang ibu tunggal, Jumiyam Ahmad, 50, dari Kampung Batu 36, dekat sini untuk mengubah kehidupannya yang serba miskin selain mengharapkan kecemerlangan pelajaran anak-anak.
Bagaimanapun, dia hanya mampu merenung nasib dan menyerah kepada takdir kerana anak-anaknya yang tergolong sebagai pelajar pintar tidak menerima sebarang biasiswa.
Dia yang lebih lapan tahun menjanda memberitahu, dua daripada enam anaknya sebelum ini gagal melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atas faktor kemiskinan.
Kini Jumiyam menaruh harapan terhadap anak kelimanya, Siti Nordiana Kifri, 12, yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu, dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.
"Siti Nordiana mendapat tawaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor dan perlu mendaftar 2 Januari ini tetapi disebabkan kos kemasukan tinggi dan tidak mendapat biasiswa, mungkin hasrat itu terpaksa dilupakan.
"Saya berharap dia akan diberi biasiswa kerana saya hanya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang berdekatan dengan gaji RM20 sehari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jumiyam berkata, dengan pendapatan itu dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan, dia terpaksa menanggung dua lagi anaknya yang masih bersekolah.
Menurutnya, anak ketiganya pernah ditawar melanjutkan pelajaran di sekolah menengah berasrama penuh di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu tetapi ditolak kerana tidak mampu.
"Anak keempat yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bersekolah di Sekolah Menengah Bandar Tenggara, Kota Tinggi selama dua tahun sebelum ini terpaksa bertukar ke sekolah lain kerana saya tidak mampu menampung perbelanjaannya," katanya.
Dia berkata, mereka kini hidup menumpang di rumah abangnya yang usang dengan atap bocor dan dinding papan telah reput.
Menurutnya, apabila hujan lebat, air akan masuk ke lantai rumahnya disebabkan kedudukan kediaman tersebut yang berada di bawah bukit.
"Saya pernah mohon kepada Baitulmal Kulaijaya untuk bantuan membaiki atap-atap bocor pada awal tahun ini tetapi hingga kini tidak menerima sebarang jawapan," katanya.
Jumiyam berkata, dia juga tidak pernah mendapat bantuan Hari Raya Aidilfitri termasuk nafkah daripada bekas suaminya.
Sementara itu, Siti Nordiana menaruh harapan tinggi untuk masuk ke sekolah tersebut kerana mahu mendapatkan pendidikan lebih baik dan bersaing dengan pelajar cemerlang lain.
Dia yang bercita-cita menjadi pensyarah, berazam mahu mengubah nasib keluarganya dan percaya kecemerlangan dalam pelajaran merupakan tiket untuk berjaya dalam kehidupan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun bank RHB Jumiyam di nombor 10131600049620.
No comments:
Post a Comment