Sunday, December 5, 2010

Disangka ingin tangkap penjenayah





PAKA – Kehadiran rombongan polis dengan seorang pegawai beruniform membuatkan sepasang warga emas yang mendiami sebuah pondok usang dekat sini kecut perut. 

Pada awalnya, pasangan terbabit Wan Mohd Zain dan isteri, Jaharah Ali beranggapan kedatangan polis ke pondok usang mereka untuk menangkap penjenayah yang mungkin bersembunyi di sekitar kawasan itu. 

Namun, sangkaan mereka ternyata meleset apabila pasangan malang itu dimaklumkan bahawa kunjungan berkenaan adalah aktiviti ziarah polis ke atas anggota masyarakat yang kurang bernasib baik melalui program ‘community policing’. 

Wan Mohd Zain yang cacat penglihatan dan mengalami masalah pendengaran bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya apabila diberitahu Ketua Polis Balai Paka, Cif Inspektor Mahadi Hussin yang mengetuai kunjungan tersebut bertanya khabar keadaannya yang dilaporkan uzur.

“Berpuluh tahun lamanya pak cik tinggal di pondok buruk ini, inilah kali pertama pak cik dikunjungi pegawai polis. 

“Pak cik rasa terharu apabila Tuan Mahadi bersama rombongannya turut membawa buah tangan,” katanya. 

Wan Mohd Zain berkata, walaupun buah tangan berupa bekalan beras yang dibawa tidak seberapa namun dapat digunakan untuk menghadapi musim tengkujuh ini. 

Sementara itu, Mahadi yang ditemui berkata, sebaik sahaja membaca akhbar Sinar Harian keluaran 23 November yang melaporkan kisah pasangan warga emas itu, pihaknya bersama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Balai Polis Paka menyusun program untuk mengunjungi mereka. 

“Selain menjaga keselamatan dan menguatkuasakan undang-undang, program sebegini juga dilihat dapat merapatkan hubungan pihak polis dan masyarakat. 

“Paling penting ia menunjukkan keprihatinan pihak polis terhadap golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment