Sunday, December 5, 2010

Siasat pelajar IPT melacur tampung pengajian


KOTA KINABALU 4 Dis. - Kementerian Pengajian Tinggi diminta segera menjalankan siasatan yang menyeluruh mengenai dakwaan terdapat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa 'menjadi pelacur' bagi membiayai kos pengajian mereka.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, masalah itu perlu diberi perhatian serius oleh kementerian kerana bukan sahaja menjejaskan nama baik IPT tetapi juga bagi menyelamatkan masa depan golongan yang terlibat.
"Kita amat berharap ada maklum balas segera daripada pihak kementerian kerana isu ini telah lama diperkatakan dan kini dibangkitkan sekali lagi.
"Isu pelajar IPT 'terpaksa' melacur ini ibarat barah yang jika tidak diubati dan diambil langkah-langkah pencegahan boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hamisa berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr. Jaina Sintian pada simposium parti itu Khamis lepas bahawa ada pelajar IPT yang terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka.
Jaina dipetik sebagai berkata, kebanyakan mereka yang terlibat datang daripada keluarga yang bermasalah seperti berlaku perceraian ibu bapa mereka menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat bergantung bagi menanggung kos pengajian.
Hamisa yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan berkata, masalah itu mungkin akan menambah rantaian gejala sosial lain termasuk kes buang bayi, jangkitan HIV dan AIDS dan penagihan dadah.
"Dalam keadaan ini, semua pihak perlu berfikiran terbuka dan tidak terburu-buru membuat penafian bagi menjaga imej dan kedudukan masing-masing kerana kita tahu bahawa cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar IPT hari ini cukup hebat.
"Mereka bukan sahaja berdepan dengan tekanan untuk menamatkan pengajian tetapi kos pengajian itu sendiri yang semakin meningkat tidak termasuk kos makan minum, tempat tinggal, pengangkutan, buku-buku, komputer dan bil Internet," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment