Sunday, December 5, 2010

Kesal pintu pagar kubur dicuri





KAMPUNG DUSUN - Tidak bertanggungjawab! Itulah dapat disimpulkan apabila pintu pagar besi di Tanah Perkuburan Kampung Dusun yang dibina bagi menghalang haiwan memasuki kawasan itu hilang dipercayai dicuri, malam kelmarin. 

Kehilangan pagar besi tersebut hanya disedari penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu dan memaklumkannya kepada barisan kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dusun sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Berang. 

Difahamkan, terdahulu kira-kira jam 8.30 malam kejadian, seorang penduduk dari kampung bersebelahan terlihat kelibat sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki sambil membawa besi lalu menghubungi kenalannya di kampung ini bagi memberitahu perkara itu, namun masing-masing tidak mengesyaki apa-apa. 

Setiausaha JKKK Dusun, Tengku Sulung Tengku Daud ketika diminta mengulas mengenai kejadian menyifatkan ia perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak sepatutnya berlaku apatah membabitkan kawasan tanah perkuburan. 

“Saya tiada di kampung kerana mengikuti kursus ketika hari kejadian dan hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan mengenainya. 

“Malah, pagi tadi (semalam), saya sempat meninjau ke kawasan tanah perkuburan dan saya dapati pagar besi di situ hilang,” katanya. 

Tengku Sulung berkata, kecurian pintu pagar besi di tanah perkuburan itu kejadian pertama berlaku di kampung ini sejak pagar dibina lebih lima tahun lalu bagi tujuan menghalang haiwan memasuki kawasan itu. 

“Berikutan perbuatan individu tidak bermoral, pintu pagar tanah perkuburan menjadi mangsa dan berharap kejadian berkenaan tidak akan berulang lagi selepas ini. 

“Kita harus menghormati dan menjaga harta benda serta kemudahan infrastruktur yang ada di tanah perkuburan, bukannya mencuri,” katanya semalam.

1 comment: