Monday, December 27, 2010
Ibu tunggal rayu bantuan
BATAK RABIT - Seorang ibu tunggal, di sini, memohon pihak berkenaan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban membesarkan tujuh anaknya yang berusia 13 hingga enam tahun.
Ibu tunggal, Salmi Arshad, 31, berkata, pendapatan sebanyak RM350 sebulan sebagai pembantu rumah tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kesemua anaknya yang masih bersekolah.
Menurutnya, sebelum ini, dia mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Perak (Maipk) sebanyak RM300 sebulan.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberikan bantuan sebanyak RM300 sebulan namun dihentikan September lalu.
"Hal ini amat merunsingkan saya kerana perbelanjaan anak semakin meningkat dan perlu membayar sewa rumah dengan kadar RM140 sebulan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Salmi berkata, sejak bercerai setahun lalu, bekas suaminya tidak pernah membayar nafkah dan dia perlu mencari kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Menurutnya, pendapatan sebagai pembantu rumah juga tidak menentu kerana bergantung kepada majikan memanggilnya.
"Disebabkan kesempitan hidup, anak sulung saya turut membantu dengan memancing ikan di sungai dan menjual hasil tangkapan itu.
"Tidak lama lagi, sesi persekolahan akan dibuka awal menyebabkan saya bimbang kerana perlu menyediakan duit yuran persekolahan tujuh anak," katanya.
Dia berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung kerana mahu anaknya meneruskan persekolahan agar mampu mengubah nasib keluarga kelak.
Labels:
daif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment