Monday, December 27, 2010
Pengakuan seorang penagih
ALOR GAJAH - Pengambilan najis dadah berlebihan sejam belasan tahun menghadiahkan penyesalan yang tiada kesudahan apabila disahkan menghidap penyakit saraf otak sehingga memusnahkan rumah tangga dibina.
Jika tidak mengenali, sudah pasti orang menyangka dia tidak siuman dengan gaya berjalan yang terketar-ketar dan diperhatikan sering berjalan sendirian seperti tiada arah tuju, namun untuk mengenalinya bukan sesuatu yang menghairankan.
Perjalanan hidupnya yang panjang penuh dengan kecelaruan akibat kesan pengambilan dadah keterlaluan di masa lampau sehingga hidup keluarganya musnah gara-gara kerakusan najis dadah yang diambilnya sejak berusia belasan tahun.
Dia yang mahu dikenali sebagai Osman Majid, 41, (bukan nama sebenar) mengalami penyakit urat saraf sehingga memaksa dia hidup dalam kegelisahan disebabkan peluh yang sentiasa mengalir ditubuhnya tanpa henti tidak mengira waktu.
Osman yang dahulunya seorang kontraktor berjaya, hidup mewah dengan limpahan wang ringgit bersama bekas isteri dan dua anak perempuannya, namun kini hanya tinggal kenangan apabila bekas isteri dikasihi nekad meninggalkannya.
“Saya kehilangan 25 tahun daripada usia remaja saya kerana mula menghisap ganja pada usia 14 tahun dan berlarutan sehingga menamatkan alam persekolahan dan mula bekerja sendiri sebagai kontraktor serta mula beralih arah menghisap heroin.
“Pada masa itu, saya belum berkahwin dan hidup terlalu mewah kerana dalam sehari saya sanggup belanjakan hampir RM300 untuk membeli najis dadah sehingga saya berkahwin dengan bekas isteri, tetapi tabiat menagih sukar hendak dihapuskan.
Dia yang pernah dipenjarakan selama 10 tahun di Penjara Kajang atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin tidak mampu bekerja sendiri tanpa menghisap najis dadah terlebih dahulu kerana baginya tanpa dadah hidupnya tidak akan sempurna.
Bagaimanapun, menurutnya, sepanjang menagih, belum pernah dia mencuri hak orang lain atau memecah masuk rumah orang semata-mata untuk membeli keperluan dadah kerana baginya duit tidak menjadi masalah kepadanya yang penting dadah perlu sentiasa ada.
“Selepas berpuluh tahun bergelumang dengan najis dadah, saya ditimpa sakit teruk, doktor kata bukan jangkitan HIV, tetapi penyakit saraf otak sehingga saya tidak mampu bekerja beberapa bulan sebelum buat keputusan berhenti daripada menagih.
“Dalam pada saya menderita sakit, bekas isteri saya minta diceraikan dengan alasan saya sudah tidak mampu beri nafkah kepadanya dan dua anak saya selama enam bulan, tetapi saya tidak mahu menceraikan dia sebab saya masih sayangkan dia.
“Akhirnya saya akur selepas mahkamah memutuskan kami bercerai dan saya turut disisih keluarga serta dihalau keluar dari rumah sekali gus merempat menumpang tidur di surau sebagai tempat berteduh. Sejak itu, hidup saya jadi tidak menentu," katanya.
Menurutnya, disebabkan dadah dia hampir menemui ajal kerana mengambil kandungan dadah berlebihan ketika itu, tetapi mujur hayatnya masih panjang, sekalipun sekarang dia tidak secergas dahulu, tetapi dia berpeluang mengecapi kehidupan sendirian.
“Inilah kesudahan hidup saya yang dahulu hidup mewah, sekelip mata segalanya berubah, saya terpaksa hidup merempat,” katanya dengan nada menyesal ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam
Labels:
dadah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment