Monday, December 27, 2010

Keadaan rumah sukarkan Rafeah



JASIN HILIR - Sekalipun kaki kirinya sudah dipotong empat tahun lalu kerana kencing manis, namun ia tetap tidak membataskan pergerakan warga emas, Rafeah Jalil, 63.

Menurutnya, sebaik kakinya dipotong, dia menetap bersama anak tunggalnya di Kuala Lumpur, namun pulang semula dan menetap di rumah peninggalan pusaka sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, kaki palsu yang diterimanya itu membolehkan dia dapat bergerak seperti biasa dan kebanyakan daripada penduduk kampung sering mengambil berat tentang keadaan dirinya.

“Namun, keadaan rumah pusaka yang berusia lebih 70 tahun ini telah membataskan pergerakan saya, sebagai contoh terpaksa berhadapan dengan tangga setiap kali turun naik ke dapur sekali gus menyukarkan keadaan saya.

“Tambahan rumah yang uzur turut menyebabkan saya terpaksa berhati-hati setiap kali menggunakan tangga supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika menerima lawatan Skuad Sayang Wanita Parlimen Jasin di rumahnya, di Kampung Jasin Hilir, kelmarin.

Jirannya, Nor Shahida Abd Karim, 30, berkata, kebiasaannya jiran berhampiran akan menjenguknya secara bergilir-gilir setiap hari.

Ini kerana, menurutnya, keadaan rumahnya terlalu tinggi di bahagian tengah sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan jiran tetangga.

“Oleh kerana bimbang terhadap keadaan rumahnya, di samping kakinya yang tiada, menyebabkan kami bimbang tentang keselama-tan dirinya.

“Jadi, kami semua sepakat bergilir-gilir menjenguknya setiap masa,” katanya.

Rafeah adalah penerima sumbangan bantuan makanan dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah sebanyak RM300 setahun.

Manakala Pesuruhjaya Skuad Sayang Parlimen Jasin, Zaleha Bujang berkata, ziarah kasih itu diadakan untuk mendekatkan ahli jawatankuasa (AJK) dan sukarelawan skuad kepada ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Sekurang-kurangnya lawatan ini dapat meringankan beban ditanggung masyarakat kurang bernasib baik, di samping menyelami penderitaan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment