Wednesday, December 29, 2010

Jaminan 21 pengikut Islam Jamaah disambung sehingga 3 Mac



SEBAHAGIAN 21 individu yang dipercayai pengikut ajaran Islam Jamaah di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang, semalam. - Utusan/MOHD. NOOR AMIN


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Jaminan ke atas 19 daripada 21 individu yang dipercayai pengikut ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) disambung sehingga 3 Mac ini berikutan siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap mereka masih belum selesai.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang dekat sini, Mohd. Fazil Che Hasan turut mengekalkan jumlah jaminan antara RM1,500 dan RM8,000 ke atas kesemua mereka yang dibawa ke mahkamah buat pertama kali pada 30 November lalu.
Pada prosiding hari ini, hakim syarie berkenaan memanggil seorang demi seorang pengikut IJ ke hadapannya bagi menyemak status penjamin masing-masing.
Sementara dua individu yang gagal hadir telah dikenakan waran tangkap oleh mahkamah.
Seorang lagi individu yang gagal hadir pada prosiding lalu telah dibenarkan diikat jamin RM3,000 beserta seorang penjamin penjawat awam yang menetap di Selangor.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan oleh anggota penguat kuasa JAIS bahawa jabatan itu sedang meneruskan proses siasatan dan mengambil keterangan daripada saksi-saksi.
Kesemua 22 individu terbabit ditahan oleh penguat kuasa agama di sebuah surau di Sungai Tangkas dekat sini pada 26 November lalu kerana menunaikan solat Jumaat tanpa kebenaran dan mengikut imam yang tidak mendapat tauliah jabatan agama.
Selain itu, solat Jumaat itu dipercayai tidak cukup jemaah iaitu kurang daripada 40 orang manakala khutbah dibaca daripada koleksi buku yang bukan diterbitkan oleh JAIS.
Kesemua pengikut ajaran tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(c) dan Seksyen 13(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor serta Seksyen 97(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
Ajaran IJ difahamkan diperkenalkan oleh pengasasnya yang dikenali sebagai Haji Nurhasan al-Ubaidah atau nama sebenarnya, Mohd. Madigol Ab. Aziz di Jawa Timur, Indonesia pada 1941.
Antara ciri ajaran sesat itu adalah pengikutnya sahaja orang Islam sebenar selainnya dianggap kafir, najis mughallazah (berat) seperti najis anjing tidak perlu disamak, binatang yang mati dalam kawasan kampung orang Islam tidak perlu disembelih dan halal dimakan serta tulang babi tidak haram.
Ajaran itu juga percaya dosa boleh diampunkan dengan mengisi borang tebus dosa yang disahkan oleh pemimpinnya sendiri.

No comments:

Post a Comment