Wednesday, December 29, 2010

PM, rombongannya belanja RM8.72 juta





KUALA LUMPUR 22 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak dan rombongannya membelanjakan sebanyak RM8.72 juta ketika lawatan ke luar negara dari 3 April tahun lalu hingga 19 November tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sepanjang tempoh lebih 19 bulan atau 588 hari itu, Perdana Menteri dan rombongannya telah ke luar negara sebanyak 42 kali.
‘‘Perbelanjaan terbanyak adalah RM2.09 juta ketika lawatan ke Vietnam, Amerika Syarikat dan Jepun dari 5 hingga 22 April tahun ini.
‘‘Kos paling sedikit adalah sebanyak RM2,608 ketika lawatan ke Beijing, China dari 30 Jun hingga 4 Julai tahun ini,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Dr. Syed Husin Ali pada sidang Dewan Negara hari ini.
Menurut Mohamed Nazri, negara paling kerap dikunjungi Najib dan rombongan sepanjang tempoh itu adalah Singapura iaitu sebanyak enam kali.
‘‘Ini diikuti Thailand, Indonesia, Arab Saudi dan China masing-masing sebanyak empat kali,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam jawapan bertulis kepada satu lagi soalan Syed Husin berkata, perbelanjaan penganjuran Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010 di sini adalah sebanyak RM4.49 juta.
Beliau berkata, persidangan dari 11 hingga 13 Oktober tahun ini telah membawa banyak faedah kepada negara dan turut menjadi platform kepada wanita-wanita pertama untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pembangunan kepimpinan kanak-kanak.
‘‘Ia juga mewujudkan hubungan pelbagai hala dan memperkukuhkan jaringan persahabatan di kalangan wanita-wanita pertama,” ujarnya.
utusan

No comments:

Post a Comment