MERSING 7 Dis. - Seorang suri rumah yang menetap di Kampung Air Tawar dekat sini terkejut apabila mendapati hirisan daging korban yang hendak dimasaknya mengandungi urat lemak yang membentuk kalimah Allah.
Maharom Musa, 58, berkata, daging lembu korban itu diberikan oleh menantunya, Yusuf Embong, 47, yang membawanya dari Chini, Pahang, kira-kira dua minggu.
Dia mula menyedari tanda kebesaran Allah itu semasa hendak memasak daging tersebut, semalam.
"Pada mulanya saya memotong daging itu seperti biasa apabila anak perempuan saya terpandang sesuatu yang aneh terdapat pada daging tersebut.
"Bila diamati betul-betul, memang jelas urat daging berkenaan tertulis kalimah Allah malah bahagian yang tertera kalimah tersebut berbeza daripada yang lain, tidak berlemak dan tidak berbau hanyir," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.
Malah, jelasnya, apabila dimasak, rasanya seolah-olah, cukup dengan perisa dan dagingnya lembut serta sedap berbanding daging lembu biasa walaupun pada mulanya belum dimasukkan garam.
Maharom mengakui sejak cerita tersebut tersebar di kalangan penduduk kampung, ramai yang datang untuk melihat sendiri.
"Sebelum ini saya kurang sihat dan apabila melihat kebesaran Allah ini, saya menjadi kembali bersemangat dan bermuhasabah diri dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana diberikan peluang untuk melihat salah satu kebesaran-Nya dan pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati beberapa penduduk kampung berhampiran datang untuk melihat sendiri dan merakamkan gambar daging itu.
No comments:
Post a Comment